Malaysia Dateline

Warga China kuasai tanah tambakan laut: Dalang jangan jadi calon PRN Melaka

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam dilihat tidak tahan dengan penglibatan pemimpin parti itu dalam isu berkaitan projek penambakan laut di Melaka.

Dia yang telah diterima balik menjadi ahli Umno selepas dipecat dari parti pada 20 Februari tahun lalu telah mengemukakan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 13 Oktober lalu.

Lokman mendakwa kerajaan negeri Melaka pada 29 Jun lalu telah menganugerahkan tanah penambakan laut seluas 1,190 ekar kepada syarikat Far East (Melaka) Sdn Bhd.

Jelasnya, pemilik syarikat itu terdiri daripada Tun Perak Holding Pte Ltd dengan saham sebanyak RM490,000 iaitu 49 peratus daripada keseluruhan pegangan.

Dua lagi ialah Datuk Wira Long Kah Chok dan Toh Kong Ming masing-masing dengan pegangan saham bernilai 29.32 peratus dan 21.68 peratus.

“Syarikat Tun Perak Holding Pte Ltd didaftarkan di Singapura pada 12 Jun 2021. Ini bermakna ianya sebuah syarikat asing.

“Pemegang saham Toh Kong Ming pula dipercayai memegang saham bagi pihak isterinya yang merupakan seorang warganegara China yang bernama Ga Yamei.

“Pada hakikatnya lebih 70 peratus saham syarikat Far East (Melaka) Sdn Bhd. dikuasai warga asing,” dedahnya.

Lebih merisaukan, dakwa Lokman, Far East juga telah memperoleh lesen pelabuhan dari Kementerian Pengangkutan.

Sehubungan itu, beliau berkata, laporan SPRM dibuat bagi mendesak siasatan dilakukan terhadap ketelusan pemberian konsesi penambakan laut yang dikhabarkan didalangi oleh seorang individu.

Jelasnya, individu terbabit disyaki telah menerima habuan bagi mempengaruhi kerajaan negeri untuk menganugerahkan projek penambakan tersebut.

“Siasatan segera perlu dilakukan bagi memastikan nama baik Umno dapat diselamatkan sebelum individu tersebut dinamakan sebagai calon pilihan raya yang boleh merosakkan nama baik Umno dan menjejaskan peluang kemenangan calon-calon Umno lain yang bersih.

“Perbuatan individu terbabit, jika benar, boleh disifatkan sebagai pembuka pintu negara untuk dikuasai negara asing melalui penguasaan tanah dan pelabuhan Melaka,” katanya.

Justeru, tegas Lokman lagi, Umno perlu memastikan individu yang bermasalah tidak dicalonkan sebagai calon PRN Melaka.