Malaysia Dateline

Warga dan alumni UiTM Pulau Pinang serius kumpul RM15,000 santuni asnaf

Atas kesedaran dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan khususnya asnaf, warga dan alumni UiTM Cawangan Pulau Pinang mengambil inisiatif bagi meringankan beban golongan terlibat dengan mengumpulkan sejumlah RM15, 000 untuk diagihkan bagi golongan tersebut.

Demikian dinyatakan oleh Rektor kampus tersebut, Prof Dr Salmiah Kasolang ketika ditemui semasa majlis penyampaian di Laman Perdana, UiTM Cawangan Pulau Pinang.

“Dalam menghadapi pandemik Covid-19 dan menjelangnya Aidilfitri kami merasakan bahawa golongan asnaf adalah mereka yang terjejas teruk dan harus diberi perhatian.

“Atas kesedaran tersebut juga dan bagi mewujudkan masyarakat yang prihatin serta menyemai budaya tolong menolong dikalangan warga dan alumni UiTM, maka inisiatif tersebut menjadi prioriti apakala menjelangnya bulan yang mulia ini.

“Seramai 173 penerima menerima sumbangan yang berupakan barangan kering seperti beras, minyak, gula, kopi dan seumpamanya dan majoriti dari mereka adalah pekerja pembersihan yang senantiasa memainkan peranan penting bagi memastikan kebersihan terjamin dalam kawasan kampus ini dan kampus Bertam, Kepala Batas,” ujarnya.

Tambah beliau, dengan pemberian tersebut ia membuktikan bahawa tugas dan khidmat golongan tersebut tetap dihargai oleh warga dan alumni UiTM Cawangan Pulau Pinang serta adalah diharapkan ia akan memberi sedikit sinar kepada mereka menjelang kehadiran hari lebaran yang begitu hampir.