Malaysia Dateline

PDRM

Warga emas berputih mata melayang hampir RM55,000, batu delima menyala akhirnya dibuang ke sungai

Sepasang suami isteri warga emas berputih mata selepas hampir RM55,000 melayang gara-gara terperdaya dengan dakwaan kononnya sebutir batu delima boleh mengubati penyakit.

Namun, batu delima yang direndam dalam air masih menyala selepas dikeluarkan dan akhirnya dibuang ke Sungai Jasin atas saranan isteri mangsa yang bimbang akan keselamatan mereka.

Terdahulu, mangsa lelaki berusia 75 tahun didatangi seorang suspek bertanyakan kedai menjual buku agama, ketika berada di Bandar Jasin kira-kira jam 11.30 pagi 5 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, ia kemudian membawa kepada pertemuan dengan dua lagi suspek berkisarkan batu delima yang didakwa kononnya mampu mengubati pelbagai penyakit serta bernilai tinggi.

“Suspek menunjukkan batu delima itu kepada pasangan suami isteri itu. Batu berkenaan didakwa mengeluarkan cahaya ketika direndam dalam air, malah pasangan suami isteri terbabit dikatakan turut meminum air rendaman itu,” dipetik Berita Harian.

Jelasnya, suspek pertama dan kedua didakwa menumpang kereta mangsa sebelum mereka bersetuju menjual batu delima itu pada harga RM320,000 kepada suspek ketiga, yang mana mangsa dijanjikan hasil jualan sama rata dengan suspek pertama dan kedua.

Walau bagaimanapun, Mispani berkata, suspek ketiga didakwa meminta mangsa meminjamkan dahulu wangnya menyebabkan pasangan itu mengeluarkan wang simpanan RM4,500 daripada akaun isteri dan RM50,000 lagi daripada akaun suami.

Selepas menyerahkan wang itu, beliau berkata, suspek pertama dikata menyerahkan batu delima tersebut dan meminta warga emas terbabit menunaikan solat sunat.

Menurutnya, pasangan itu kemudian singgah di sebuah masjid lalu menunaikan solat Zuhur, manakala suspek ketiga dikatakan sedang dalam perjalanan untuk berjumpa di kawasan itu.

Lapor Berita Harian lagi, kedua-dua suspek kemudiannya telah tiada selepas menunaikan solat Zuhur walaupun pasangan suami isteri itu menunggu selama kira-kira 30 minit.

“Ketika cuba merendamkan delima itu dalam air, batu terbabit dikatakan menyala tetapi ia masih menyala selepas dikeluarkan.

“Disebabkan bimbang akan keselamatan mereka, isteri mangsa kemudian menyuruhnya membuang batu itu ke Sungai Jasin.

“Mangsa yang mengesyaki mereka ditipu kemudian tampil membuat laporan polis, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” tambah Mispani lagi.

Baca juga Hampir separuh dewasa Putrajaya gemuk – Kerap berjalan, berlari di tiga dari 11 taman indah ini elak digelar ‘obes-city’

Baca juga Pasangan ni sambut ‘anniversary’ bermodalkan pasir pantai je