Warga emas hilang ditemui dalam pondok dekat gua, 12 hari dapat makan nasi putih

Oleh MALAYSIADATELINE

Misteri kehilangan seorang wanita warga emas akhirnya terungkai selepas ditemui di sebuah pondok lama di kawasan sempadan Perlis-Kedah di Gua Kerbau, Kodiang, Kubang Pasu.

Difahamkan, Rokiah Jaafar yang berusia 60 tahun itu hilang selama 12 hari selepas dipercayai keluar daripada rumah suaminya di Kampung Katong terletak di Pauh, Perlis.

Menurut adik ipar mangsa dikenali sebagai Zunizam Ismail, kakak iparnya itu ditemui tinggal di dalam sebuah pondok lama berhampiran gua oleh salah seorang rakannya.

Ketika kejadian, rakannya itu sedang mengerjakan tanaman padi di sekitar kawasan berdekatan gua sebelum menemui kakak ipar yang lebih mesra disapa Kak Ma oleh penduduk di Kampung Guring Bawah, Pauh, lapor Berita Harian.

“Alhamdulillah, kami bersyukur apabila Kak Ma ditemukan semula di dalam keadaan selamat. Saya sebenarnya dimaklumkan oleh seorang rakan sekampung yang ada mengerjakan bendang sekitar kawasan berhampiran gua itu mengenai penemuan kakak ipar.

“Jadi sekitar pukul 7.45 pagi, saya dan ahli keluarga lain bergegas menjemputnya di pondok itu yang terletak 3.6 kilometer dari lokasi rumah suaminya ketika dia mula-mula hilang,” kata lelaki berusia 45 tahun itu memetik Berita Harian.

Ketika ditemui, Kak Ma berada di dalam keadaan sihat dan hanya makan nasi putih sehari sekali untuk mengalas perutnya selama 12 hari ketika tinggal di pondok lama berkenaan.

“Dari mana dia dapat nasi putih itu pun tidak diketahui dan kami pun tidaklah mahu terus mengasaknya untuk bertanyakan pelbagai soalan terhadapnya buat masa ini.

“Selain itu, kami sudah pun membawanya ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk melakukan pemeriksaan lanjut. Buat masa ini, dia sedang berehat dan tinggal dengan kami. Perkara ini juga sudah dimaklumkan kepada polis,” jelasnya.

Terdahulu, Rokiah yang bekerja sebagai pembuat kerisik kelapa di Kampung Guring Bawah dilaporkan hilang semenjak 23 Jun lalu sehingga menimbulkan kebimbangan keluarganya.

Pelbagai usaha pencarian warga emas itu juga dilakukan ahli keluarganya yang tidak hanya bertumpu di kawasan Pauh, malah di segenap pelusuk daerah di Perlis namun tidak menemui sebarang petunjuk.

Susulan itu, adik Kak Ma iaitu Rohani Jaafar dan suaminya, Zunizam Ismail membuat laporan polis pada keesokannya di Balai Polis Arau pada jam 1 pagi.

Baca juga: “Nak buat pesanan kalau tak ada ‘line’ susah” – Wanita harap restoran sediakan ‘password’ WiFi