Balik solat Subuh terus lepas gian, warga emas ditahan setelah keluar lokap Jumaat lalu

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang lelaki warga emas yang memakai kopiah ditahan ketika mendapatkan bekalan dadah untuk melepaskan gian dalam operasi Op Perdana di kawasan Bukit Malut, Langkawi, Kedah pada sekitar jam 7 pagi semalam.

Warga emas berusia 69 tahun yang baru keluar dari lokap Jumaat lalu selepas ditahan kerana kesalahan dadah itu dicekup semula oleh pegawai penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah atas kesalahan sama.

Ketika penahanan dibuat, warga emas itu mendakwa baru pulang dari masjid berhampiran untuk menunaikan solat Subuh sebelum datang ke kawasan tersebut untuk mendapatkan bekalan dadah bagi melepaskan gian.

Lelaki lanjut usia itu juga mengakui sudah mula terbabit di dalam aktiviti penyalahgunaan dadah ini sejak 20 tahun lalu malah pernah direman di bawah pengawasan pihak AADK pada dua tahun lalu, lapor Berita Harian.

“Pakcik baru keluar lokap Jumaat lalu, sekarang tinggal di masjid sekitar pulau ini sebagai tempat persinggahan. Hari ini pakcik nak ambil (dadah) sebab tak tahan walaupun sudah berniat nak banyak buat ibadah.

“Tetapi tak boleh. Kalau tak dapat heroin, air mata akan berlinang sendiri,” kata warga emas yang memiliki empat orang anak dan enam cucu itu memetik laporan Berita Harian.

Lelaki yang hidup sebatang kara selepas berpisah dengan isterinya itu mendakwa sudah berazam untuk berhenti menagih dadah kerana sudah berusia dan ingin banyak beribadat.

Walau bagaimanapun, warga emas berkenaan tidak tahu kaedah yang betul untuk menghilangkan gian sedangkan dirinya sudah merancang melakukan pelbagai ibadah bagi menyambut bulan Ramadan tidak lama lagi.

“Minggu depan nak sambut Ramadan, pakcik ingat nak banyak mengaji al-Quran dan solat di masjid. Saya harap dapat berhenti menagih, cuma tak tahu bagaimana caranya,” ujar warga emas itu lagi.

Baca juga: “Mak mentua siap nasihat ‘ini semua dugaan kecil’, masalahnya anak lelaki dia tu curang banyak kali dah”