Malaysia Dateline

Warga emas lesap RM80,000 ditipu sindiket penyamaran di Kedah

Seorang peniaga berusia 68 tahun kerugian RM80, 000 setelah berjaya diperdayakan sindiket penyamaran yang didakwa dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Jabatan SiasatanJenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Kedah, Superitenden Elias Omar dalam kenyataan hari ini berkata, mangsa didakwa oleh sindiket mempunyai hutang tertunggak kepada LHDN, namun beliau menafikannya.

“Mangsa kemudian disambungkan ke IPK Melaka dan bercakap dengan seorang pegawai polis dan seterusnya disambung ke pihak Telekom Malaysia bagi meyakinkan mangsa bahawa ia adalah talian dari IPK Melaka.

” Ekoran itu mangsa disambung pula ke Bukit Aman bagi mendengar siaran radio berkaitan kad pengenalan mangsa yang didakwa juga terlibat dalam penggubahan wang haram dan pengedaran dadah.

” Mangsa kemudian ditakutkan dengan waran tangkap yang telah dikeluarkan dan mengarahkannya supaya menyalurkan wang simpanan segera ke Bank Negara Malaysia sebagai tanda kerjasama dan kemudian ditakutkan sekali lagi dengan membuat akuan bersumpah secara virtual untuk disimpan rahsia serta tidak boleh mendedahkan perkara ini termasuk ahli keluarga, ” ujar beliau.

Kata Elias lagi, mangsa pada 27 September 2021 telah membuat 3 kali transaksi yang berjumlah RM80, 000 ke akaun yang telah ditentukan oleh sindiket tersebut.

Tegas beliau, mangsa hanya menyedari ditipu sindiket penyamaran dan telah diperdayakan apabila isterinya mengetahui ia mendepositkan sejumlah wang di bank dan membuat laporan polis di Balai Polis Kota Setar.

Kes ini disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu) dan pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dan terpedaya dengan sindiket macau scam sebegini.