Seorang warga emas bertekad menderma keseluruhan wang tabungannya bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye.
Menurut Mehmet Cakirhan, wang itu merupakan duit simpanannya bagi menampung kos menunaikan ibadah umrah pada tahun ini.
Namun apakan daya, menjelang tarikh berangkat, negaranya dilanda fenomena alam yang amat dahsyat iaitu gempa bumi.
Lelaki yang berusia 74 tahun itu mengambil keputusan untuk tidak meneruskan hasratnya dan menyerahkan wang itu kepada Pesatuan Bulan Sabit Merah.
“Semuanya baik-baik sahaja, namun tiba-tiba gempa bumi melanda. Saya serahkan duit saya hari ini. Lagi 10 hari tempoh yang tinggal sebelum saya sepatutnya pergi menunaikan umrah.
“Semua sudah siap sedia. Semuanya. Namun bila gempa bumi berlaku, saya berkata pada diri saya bahawa saya akan serahkan duit itu disini,” katanya.
Mungkin mengenangkan usahanya mengumpul wang buat umrah, Mehmet menitiskan air matanya selepas menyerahkan wang.
“Jangan menangis, anda telah melakukan amalan yang amat mulia. Ini adalah sumbangan terbaik yang kami terima hari ini,” pujuk kakitangan Pesatuan Bulan Sabit Merah.
Difahamkan, ramai pihak yang ingin membantu menanggung segala kos buat Mehmet meneruskan hasratnya mengerjakan umrah.
Namun, dia menolak tawaran itu dan bertegas untuk mereka menyerahkannya kepada organisasi yang lebih memerlukan.
Baca juga: Penunggang Grab tinggal KFC depan pusat beli-belah, pelanggan berang pesanan dicuri