Malaysia Dateline

Warga Indonesia dilarang masuk Sarawak hingga dimaklumkan

Sarawak tidak membenarkan warganegara Indonesia untuk memasuki negeri ini sehingga dimaklumkan nanti.

Menurut kenyatan Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, tindakan itu adalah sebagai langkah pencegahan Covid-19 dan telah diputuskan oleh mesyuarat jawatankuasa tesebut semalam.

Kata kenyataan itu, Jawatankuasa turut memutuskan rakyat Sarawak yang balik dari Indonesia wajib dikuarantin di Pusat Kuarantin yang telah ditetapkan dan akan membuat saringan pada hari ke-10.

“Warga Sarawak yang balik dari luar negara (selain dari Indonesia) perlu mengambil saringan Covid-19, tiga hari sebelum berlepas.

“Sebaik tiba di negeri ini, mereka dikehendaki menjalani kuarantin diri di rumah dan akan diambil saringan PCR pada hari ke-10.

“Bagi yang tinggal di pedalaman, mereka akan dikuarantin di pusat kuarantin yang telah ditetapkan dan akan dibuat saringan PCR juga pada hari ke-10,” jelas kenyataan itu.

Berkaitan pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), JPBN memaklumkan pihak polis telah menangkap dua warganegara Indonesia yang telah dikesan positif Covid-10 ketika cuba melarikan diri dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti tular di media sosial.

“Kedua-dua warganegara Indonesia itu kini telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk menjalani rawatan.

Tambah kenyataan itu, setakat ini sebanyak 1,801 premis telah dipantau iaitu pasar raya (219), restoran (341), kilang (24), bank (175), pejabat Kerajaan (81), penjaja (22), pasar tani atau awam (83), tempat ibadah (110), tempat riadah (50), tapak pembinaan (34) dan lain-lain (662).