Malaysia Dateline

Warga Kolej Vokasional Sarawak disaran sahut cabaran Revolusi 4.0

Warga Kolej Vokasional (KV) di Sarawak disaran untuk menjadi agen penggerak yang utama bagi menyahut cabaran Revolusi 4.0 di samping terus kukuh bagi berhadapan dengan arus permodenan global.

Mohammad Shahran Haji Amin

Pengerusi Majlis Pengarah dan Pengetua Sekolah Menengah Teknik Zon Sarawak, Mohammad Shahran Haji Amin berkata, kejayaan yang dicipta oleh graduan Kolej Vokasional bukan sahaja menunjukkan peningkatan yang baik malah turut memberi impak kepada pembangunan dan ekonomi negara.

Selain itu katanya, para pelajar turut mampu menempatkan diri untuk membina kerjaya di peringkat antarabangsa.

” Sebenarnya kemahiran yang dimiliki oleh para pelajar Kolej Vokasional adalah setanding dengan institusi lain apabila mereka dilihat mampu bersaing dalam pertandingan peringkat antarabangsa seperti Worlds Skill.

“Bagi memastikan Kolej Vokasional terus unggul, peranan ibu bapa dan guru dilihat sangat penting,” kata beliau pada Majlis Hari Terbuka Kolej Vokasional Betong (VOKBET) Kementerian Pendidikan Malaysia di Kolej Betong, Betong di sini hari ini.

Program Hari Terbuka VOKBET adalah bersempena dengan Roadshow TVET Zon Sarawak 2019.

Mohammad Sharan menambah, ibu bapa haruslah memainkan peranan dalam mengenal pasti minat dan kemahiran sekali gus mengenal pasti bidang yang diminati anak-anak mereka.

“Maka dengan itu, kita mudah mengenal pasti sesuatu bidang yang diminati anak-anak kita untuk diberikan perhatian agar mereka mampu meraihnya pada masa hadapan, ” jelas beliau yang juga merupakan Pengarah Kolej Vokasional Matang, Kuching.

Pada masa sama, beliau menggesa supaya bekas-bekas pelajar yang aktif dalam persatuan alumni untuk bersama-sama membantu memberi semangat kepada para pelajar untuk terus menerokai jurusan yang diambil mereka.

“Alumni juga dilihat harus memainkan peranan untuk membantu pembangunan Kolej Vokasional sama ada dari sumbangan kewangan mahupun menyediakan ruang untuk pelajar menjalani latihan di premis mereka” ujar beliau.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Kolej Vokasional Betong, Lim Ah Juan dan pensyarah serta pelajar di kolej tersebut.