Malaysia Dateline

Kadir Jasin

Warga pencen tidak boleh duduk di rumah kerana tiada pilihan

Saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah agar warga pencen duduk di rumah ketika wabak Covid-19 mengganas memang benar tetapi ramai antara mereka tidak ada pilihan melain keluar dan bekerja.

Menurut wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin, ramai warga senior yang terpaksa bekerja kerana mereka kerja sendiri atau mereka tidak ada pencen.

Hari ini juga, katanya, makin ramai pesara awam dan swasta terpaksa terus bekerja kerana pencen dan simpanan mereka tidak mencukupi.

“Mereka tidak ada pilihan melainkan keluar bekerja. Pilihan yang ada adalah mengamalkan SOP secara maksimum atau hadapi risiko dijangkiti,” tulis bekas Penasihat Media kepada Perdana Menteri itu.

Semalam, Dr Noor Hisham menasihatkan warga pencen agar duduk di rumah jika tidak ada urusan penting di luar.

Ini kerana, mereka yang berusia berada dalam kategori yang berisiko tinggi jika terkena jangkitan Covid-19.

“Kita dengarlah nasihat doktor sebab bila kita sakit, doktor lah yang kita cari.

“Tapi kita kena ingat juga, warga pencen tak sama dengan warga senior. Bukan semua senior citizens orang pencen,” kata Kadir mengulas kenyataan Dr Noor Hisham itu.