Malaysia Dateline

Warga Perancis ditahan di LTA Langkawi, dikuarantin di stesen

Warga negara Perancis yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 20 Ogos 2020 jam 8.25 pagi telah dimasukkan ke stesen kuarantin di Langkawi pada 20 Ogos 2020 jam 7.30 petang.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, walaupun warga Perancis terbabit termasuk dalam My Second Home Program (MM2H) awalnya diberi kelonggaran menjalani kuarantin di kediamannya di Langkawi secara automatik terbatal apabila pada 24 Julai 2020 Kerajaan telah mewajibkan semula semua pengembara yang tiba di Malaysia untuk menjalani kuarantin selama 14 hari di stesen kuarantin.

“Beliau tidak bergejala dan ujian saringan COVID-19 di KLIA mengesahkan beliau negatif COVID-19 sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan penerbangan domestik ke Langkawi.

“Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, pengembara ini telah ditahan oleh PGA kerana memakai gelang merah jambu yang memberi indikasi statusnya sebagai person under investigation (PUS) dan berada di kawasan awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, walaupun didapati negatif COVID-19 warga Perancis yang memakai gelang merah ketika tiba di KLIA menjadi pertikaian warga media sosial kerana tidak menjalani kuarantin di stesen sebaliknya diberi kelonggaran untuk menjalani kuarantin 14 hari di kediaman di Langkawi.

Malah warga media sosial rata-rata melahirkan kebimbangan terhadap penularan virus itu jika beliau melanggar SOP ketika menjalani kuarantin di kediaman sendiri.