Malaysia Dateline

Warga Rusia berlumba-lumba beli burger McDonald’s, jual balik dengan harga cecah RM1,371.74

Krisis peperangan antara Rusia dan Ukraine yang terus melanda menyebabkan beberapa rangkaian makanan terkenal dunia terutama yang berasal dari Amerika Syarikat telah mengambil keputusan untuk menghentikan operasi sebagai tanda protes.

Salah satunya adalah syarikat makanan francais dunia, McDonald’s yang menggaji seramai 62,000 pekerja di Rusia mengumumkan penutupan kesemua 850 restorannya buat sementara waktu.

Ekoran itu penduduk Rusia berpusu-pusu menyerbu McDonald’s bagi mendapatkan hidangan burger Big Mac terakhir.

Salah seorang warga Rusia telah memenuhi peti aisnya dengan hidangan McDonald’s manakala sebilangan penduduk pula menjual burger daripada restoran makanan segera itu pada harga mencecah £250 (RM1,371.74), lapor akhbar Daily Mail semalam.

Warga Rusia berlumba-lumba beli burger McDonald's, jual balik dengan harga cecah RM1,371.74
Peti sejuk dipenuhi burger McDonald’s ada yang buat stok dan ramai yang cari untung jual semula dengan harga lebih mahal

Sekeping gambar yang dikongsikan di laman sosial Reddit menunjukkan sebuah peti ais dipenuhi dengan sekurang-kurangnya 50 biji burger McDonald’s, menyebabkan hampir tiada ruang untuk barangan keperluan lain.

Sejak berita penutupan restoran itu dikeluarkan, ramai orang memutuskan untuk menjual hidangan Big Mac pada harga yang mahal.

Terdahulu, Daily Mail mail ratusan kereta dilihat beratur di luar restoran pandu lalu tersebut, ketika salji mula turun di bandar itu.

Ketua Pegawai Eksekutif McDonald’s di Rusia, Chris Kempczinski berkata, pihak syarikat memaklumkan akan terus membayar gaji pekerjanya yang telah mencurahkan sepenuh hati dan jiwa terhadap jenama McDonald’s.

Syarikat yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) itu memiliki dan mengendalikan cawangan di Rusia sejak 1990 semasa berakhirnya Perang Dingin.

Semasa rangkaian itu mula dibuka 30 tahun lalu, warga Rusia turut kelihatan beratur panjang di luar restoran kerana tidak sabar untuk mencuba makanan segera dari Barat itu.

Bukan itu sahaja, beberapa produk makanan segera Amerika Syarikat iaitu McDonald’s dijual pada harga tinggi menerusi laman web.

Menurut Anadolu Agency, beberapa burger telah dijual pada harga US$150 atau kira-kira RM647.

Untuk rekod, McDonald’s memiliki lebih kurang 84 peratus cawangan di Rusia dan lebih kurang sembilan peratus hasil keuntungan yang diperolehi datang dari Rusia dan Ukraine.