Nampaknya isu lama yang membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia timbul kembali apabila seorang warga Singapura didakwa sengaja membeli petrol bersubsidi di negara ini yang lebih murah.
Berdasarkan perkongsian seorang pengguna Twitter yang tular baru-baru ini, individu berkenaan memuat naik gambar seorang pemandu bernombor plate Singapura sedang mengisi minyak RON95.
Menurutnya, apabila dia cuba menegur perbuatan tersebut, pemandu Singapura itu pula berang dan mempersoal adakah dia pekerja pam minyak di sana.
Kejadian difahamkan berlaku di salah sebuah pam minyak di Johor Bahru.
“Banyak langsi. (Nombor) plate asing (Singapura). Isi minyak kuning, bila tegur cakap abang kerja sini ke? Lemah undang-undang sini. Bukan benda baru,” ciap @blackmerz101
Meninjau ke ruangan komen, ada yang menyeru agar Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) supaya mengambil tindakan segera kerana minyak subsidi itu khas milik rakyat Malaysia.
Mereka juga menegur sikap sesetengah rakyat republik itu yang agak keras kepala dan suka bawa perangai tidak baik ke Malaysia.
“Sila ambil tindakan. Minyak tu dibeli dengan duit subsidi. Milik rakyat Malaysia ye.
“Di Brunei tak ada stesen minyak berani jual minyak bersubsidi kepada kenderaan plat asing ye. Mereka sangat takut walaupun kenderaan asing tu dah tolak kereta sebab minyak habis,” komen netizen.
“Singaporean kat Singapura ikut peraturan, bila masuk Malaysia ikut kepala dia,” komen pula pengguna lain.
Malaysia sebelum ini telah mengharamkan penjualan petrol RON95 kepada kereta yang tidak didaftarkan di dalam negara kerana gred petrol itu diberi subsidi untuk rakyat tempatan.
Untuk rekod, pengusaha stesen minyak yang didapati menjual minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing akan berdepan tindakan tegas sehingga didenda RM1 juta atau penjara makismum tiga tahun dan syarikat yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.
Baca juga: Saiz sotong celup tepung tular lagi, tertipu dengan tepung tebal