Warga Syria dapat suaka politik di Kanada meninggalkan KLIA2

Warga Syria dapat suaka politik di Kanada meninggalkan KLIA2

Warganegara Syria, Hassan Al Kontar yang mendapat perhatian global kerana tinggal hampir enam bulan di kawasan pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sebelum ini telah dihantar keluar semalam bagi penempatan semula ke negara ketiga.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, lelaki berkenaan yang telah berada di negara ini sejak 7 Mac lalu telah keluar menaiki penerbangan dari KLIA dengan diiringi oleh seorang pegawai dari Pertubuhan Migran Antarabangsa (IOM).

Beliau berkata, pihaknya sebelum ini telah menawarkan kemudahan Pas Khas kepada lelaki berkenaan supaya dapat masuk ke negara ini namun lelaki itu menolak dan bertindak kekal berada di lapangan terbang kerana enggan pulang ke negara asal.

“Subjek menggunakan media sosial bagi mendapatkan perhatian dan memberi tekanan supaya beliau dapat diterima oleh negara lain dan tidak perlu dihantar pulang ke Syria.

“Atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan, Jabatan Imigresen telah mengadakan perbincangan dengan pihak kedutaan negara yang bersetuju menerima penempatan semula beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan laporan daripada media asing, Hassan telah mendapat suaka di Kanada dan penerbangannya mendarat di Vancouver.

Pada 1 Oktober lalu, Hassan yang berada di kawasan larangan di KLIA2 sejak Mac lalu telah ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Hassan mendakwa tinggal di lapangan terbang tersebut kerana bimbang ditangkap jika dihantar pulang ke Syria dan telah menghantar blog video mengenai kehidupan hariannya di Twitter dan Facebook sehingga menarik perhatian kumpulan hak asasi manusia dan media antarabangsa

Loading...