Malaysia Dateline

Warga Temerloh gesa jambatan kedua segera dibina

Warga Temerloh menggesa supaya pihak berwajib di negeri itu segera membina jambatan kedua merentasi Sungai Pahang di daerah tersebut bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang kian parah.

Jambatan sedia ada menurut mereka, tidak lagi mampu menampung keperluan penggunaan kenderaan yang semakin bertambah, menghala ke Kuantan dari Temerloh, dan dari Kuantan ke Temerloh terutama pada waktu puncak.

Syed Hamid Syed Mohamed

Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Semantan, Syed Hamid Syed Mohamed kepada Malaysia Dateline.

Kata beliau, laluan di jambatan berkenaan begitu sesak pada waktu-waktu puncak, iaitu pada waktu orang ramai bergegas ke tempat kerja pada waktu pagi dan balik dari tempat kerja pada waktu petang.

“Ia bukan sahaja menyulitkan warga tempatan yang berulang alik ke tempat kerja, tetapi mereka yang mahu berurusan ke Kuantan atau mereka yang datang dari arah Kuantan mahu berurusan di kawasan sebelah sini.

“Pada waktu-waktu tertentu keadaan begitu merumitkan, pergerakan kenderaan tersekat dan terhenti begitu lama,” kata Timbalan Ketua AMANAH Temerloh itu.

Jumlah kenderaan yang semakin bertambah menyebabkan jambatan Temerloh mengalami kesesakan terutama pada waktu puncak.

Menurut beliau, pihaknya telah mengajukan masalah dan syor berkenaan kepada pihak berwajib namun sehingga kini, apa yang boleh dilihat, tidak ada apa-apa tindakan sewajarnya diambil untuk mengatasi masalah berkenaan.

Malah sebaliknya, kata beliau lagi, pihak berkuasa didapati lebih menumpukan usaha untuk membina jambatan baharu di Songsang yang keperluannya tidak begitu mendesak seperti di jambatan Temerloh.

Jambatan yang ada di Songsang itu tambahnya, hanya perlu diperbaiki dan diperkemaskan sahaja dan keperluannya tidak begitu mendesak biarpun dalam keadaan banjir di kawasan berkenaan.

Pembinaan jambatan Songsang tidak perlu disegerakan berbanding jambatan Temerloh kedua, kata Adun Kuala Semantan.

Jambatan Temerloh menjadi sesak sebegitu pada waktu-waktu puncak disebabkan semakin ramai warga Temerloh kini telah memiliki kenderaan sendiri.

Sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi kerusi Parlimen Temerloh dalam PRU14 nanti, perkara ini perlu dijadikan tumpuan dan masalah ini perlu segera diselesaikan untuk memudahkan urusan warga Temerloh, kata beliau.