Warga tua diabai keluarga dorong anak muda tubuh rumah kebajikan

Warga tua diabai keluarga dorong anak muda tubuh rumah kebajikan

Segalanya bermula dengan rawatan di hospital kerana denggi.

Pengurus Rumah Kebajikan Orang-Orang Tua Seri Permai di Taman Tas, Kuantan Mohamad Fauzi Ramli berkata beliau terpinga-pinga bila katilnya diletakkan di tengah-tengah laluan di wad.

Apabila ditanya, doktor memberitahunya bahawa ruang terhad kerana katil-katil di ruang biasa masih dipenuhi pesakit kebanyakannya orang tua yang tidak dijenguk dan diambil keluarga.

“Sejenak itu, terlintas di fikiran saya betapa perlu ditubuhkan sebuah rumah kebajikan untuk mereka,” kata Mohamad Fauzi dalam satu temu bual.

Untuk itu, Mohamad Fauzi sanggup berhenti kerja sebagai tukang masak di sebuah syarikat di Pelabuhan Kuantan walaupun gajinya agak lumayan.

Beliau mengambil keputusan menubuhkan rumah kebajikan itu bersama pengasasnya Zahari Mamat, 55, sekitar Februari 2013.

Beliau menumpukan seluruh masa dan tenaga di rumah kebajikan itu.

Bagi Mohamad Fauzi, 27, yang berasal dari Perak, memiliki pekerjaan bergaji lumayan, kereta dan rumah besar, melancong ke luar negara tidak wujud dalam senarai impian hidupnya.

Beliau bertekad melindungi orang tua yang daif dan dipinggirkan keluarga, bersama Zahari memandangkan sebelum itu pengasas rumah kebajikan tersebut pernah meluahkan hasrat hendak menjaga orang tua.

“Saya melakukan Solat Istikarah sebelum betul-betul mengambil keputusan berhenti kerja, Allah SWT bagi petunjuk menerusi mimpi.

“Dalam mimpi, saya menjaga orang tua dan memandikan mereka,” katanya.

“Akhirnya pada 21 Ogos 2013 rumah kebajikan ini sah berdaftar dengan ROS (Pejabat Pendaftar Pertubuhan) dan 17 Jun 2014 pula mendapat pendaftaran Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Mohamad Fauzi berkata kini hatinya lebih tenang dan bahagia biarpun tidak memiliki gaji besar dan keretanya ditarik bank.

Katanya, keutamaannya sekarang adalah untuk berbakti kepada seramai 15 penghuni lelaki tua di rumah kebajikan itu.

“Sekarang saya berpegang teguh kepada konsep bertawakal sepenuhnya kepada Allah SWT. Rezeki semuanya datang daripada Allah SWT.

“Kebahagiaan dan rezeki bukan diukur semata-mata dengan mempunyai wang yang banyak sahaja, paling penting ketenangan hati,” katanya.

Beliau berkata sudah hampir empat tahun tidak pulang ke kampung halamannya demi menjaga penghuni di rumah kebajikan itu kerana hanya dirinya bersama Zahari sahaja yang menguruskan makan minum dan pakaian orang tua berkenaan.

“Nasib baik ahli keluarga saya boleh terima pilihan saya ini dan pernah mak saya datang melawat saya di sini sebab hendak melihat sendiri apakah benar saya menjaga di rumah orang tua ini,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran ditempuhi menjaga orang tua, Mohamad Fauzi berkata antaranya perlu berhadapan dengan pelbagai kerenah penghuni termasuk anggota keluarga datang menuntut harta penghuni yang sudah meninggal dunia.

“Orang tua-tua ini ada macam-macam perangai. Ada yang sudah ingat-ingat lupa seperti nyanyuk hinggakan ada bermain dengan najis sendiri yang memerlukan saya bersihkan semula. Ini semua perlukan banyak bersabar.

“Ada juga ahli keluarga datang bertanya saham atau duit yang arwah ayah mereka tinggalkan.

“Saya dan Zahari tidak mengambil tahu langsung tentang harta penghuni di sini, sedangkan makan minum dan pakaian penghuni kami sediakan sendiri tanpa perlu bayaran,” katanya.

Mohamad Fauzi kini mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia di sebuah universiti swasta di sini.

COMMENTS

Wordpress (0)