Malaysia Dateline

Warga TVET Sarawak alu-alukan Belanjawan 2020

Jamaliah Ahmad

Seluruh warga pendidik Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Sarawak amat mengalu-alukan Belanjawan 2020 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Sidang Dewan Parlimen,Jumaat lalu.

Pengarah Politeknik Kuching Sarawak Jamaliah Ahmad berkata, Belanjawan 2020 yang telah dibentangkan itu nanti diharap dapat memperkasakan bidang pendidikan kemahiran di negeri ini dalam usaha mempertingkatkan tenaga mahir bagi memenuhi keperluan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

“Warga pendidik latihan teknikal dan vokasional (TVET) di negeri ini amat mengalu-alukan belanjawan yang diumumkan itu khususnya untuk pengajian dalam bidang kemahiran di negara ini.

“Ini adalah usaha yang sangat dititikberatkan dalam membangunkan tenaga kerja di Malaysia pada masa hadapan dalam menghadapi IR4.0,” ujarnya.

Menurut Jamaliah, warga pendidik TVET mengambil positif terhadap belanjawan ini dengan harapan lebih banyak lagi program dan kemudahan diberi tumpuan oleh kerajaan pusat kepada masyarakat di negeri ini.

Tegas beliau, Belanjawan 2020 adalah menyeluruh dari segi pelajar, pensyarah dan infrastruktur termasuk pembangunan kurikulumnya.

Karmellia Ridzuan

Sementara itu, Pensyarah Kolej Vokasional Betong, Karmellia Ridzuan berharap agar para pelajar aliran TVET akan memanfaatkan peluang yang disediakan kerajaan.

“Pelajar-pelajar aliran TVET haruslah menajamkan kemahiran mereka sekali gus membuka peluang meningkatkan pasaran dalam bidang masing-masing, “katanya.
Pada pembentangan Belanjawan 2020, Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) telah memperuntukkan RM5.9 bilion bagi menguruskan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam negara.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 berkata, menerusi peruntukan itu, sinergi antara sektor awam dan swasta dapat diperkukuhkan menerusi peningkatan pembiayaan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri (SSDC).

Katanya, kerajaan turut memperuntukkan RM50 juta melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi membiayai kursus TVET yang dilaksanakan SSDC.

Bagi tujuan menyediakan latihan TVET yang dipadankan dengan pekerjaan bersesuaian, kerajaan juga menyediakan RM30 juta untuk melatih lebih 3,000 belia daripada keluarga berpendapatan rendah dengan kerjasama Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF).

Untuk rekod, peruntukan bagi program TVET dalam Belanjawan 2019 adalah RM5.7 bilion.