Malaysia Dateline

Warganegara Malaysia pertama dijangkiti COVID-19, sembuh sepenuhnya

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan satu lagi kes yang telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang hari ini membabitkan warganegara Malaysia pertama yang disahkan positif jangkitan COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kes tersebut adalah kes ke-9, melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 41 tahun, yang sebelum ini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

KKM turut memaklumkan bahawa tiada kes baru yang dilaporkan hari ini.

“Jumlah kumulatif kes COVID-19 yang dilaporkan sehingga hari ini kekal sebanyak 22 kes dimana hanya 13 kes yang masih dirawat di wad.

“Daripada keseluruhan 22 kes yang dilaporkan, 12 kes dalam kalangan kes Patient-Under-Investigation (PUI), lapan kes dalam kalangan kontak rapat, dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

“Daripada jumlah keseluruhan kes itu juga,15 orang adalah warganegara China, enam orang adalah warganegara Malaysia dan seorang adalah warganegara Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dzulkefly berkata, daripada 22 kes positif COVID-19 yang dikesan di Malaysia itu, sembilan kes telah discaj daripada wad.

Difahamkan, mereka telah menjalani ujian pengesanan ulangan COVID-19 dan didapati negatif sebanyak dua kali berturut-turut.