Malaysia Dateline

Warganet berang, beri amaran Zuraida jangan ‘sailang’ kempen bendera putih

Gelombang kempen bendera putih ketika ini hebat digerakkan di semua media sosial termasuk Facebook, Twitter dan Instagram bagi membantu rakyat Malaysia yang kian lemas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berterusan.

Kempen tersebut bermula selepas angka kes bunuh diri kian meningkat dan ramai yang mula kehilangan pendapatan.

Di Twitter, ciapan Zuraida Kamaruddin yang turut menyatakan sokongannya terhadap kempen bendera putih mengundang kecaman warganet kerana dianggap cuba merampas inisiatif rakyat.

Mereka juga melabel Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu sebagai tidak tahu malu kerana menurut mereka Zuraida sepatutnya tampil melakukan gerak kerja lebih pantas sebagai anggota Kabinet untuk mencari dan membantu rakyat sedang susah.

Pengguna @mistaaimanvevo atau Aiman berkata, disebabkan Zuraida dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun tidak berfungsi, mereka terpaksa menggerakkan kempen bendera putih untuk membantu orang susah.

“Sebab kau (Zuraida) dengan Rina Harun tak berfungsilah, kita orang terpaksa buat kempen macam ini nak tolong orang susah. Kau ada kuasa untuk tolong mereka yang kurang bernasib baik, buat kerja anda sekarang,” ciap Aiman.

“Bukan main senyap sebelum ini sampai rakyat buat inisiatif sendiri. Eh, tiba-tiba laju pula nak ambil kredit. Malu woi,” tulis @fatiniqaaa.

Sementara itu, @mirashafiee pula menyindir Zuraida tidak tahu malu sehinggakan kempen inisiatif yang digerakkan oleh rakyat mahu ‘disailang’ seolah-olah menteri itu yang mencipta idea tersebut.

“Selama ini rakyat terkapai-kapai nak bantuan tak ada pula nak muncul. Selepas itu bila rakyat sendiri yang buat kempen ini terus kau nak ambil kredit siap tanda pagar Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) lagi,” tulisnya di ruang komen Twitter Zuraida.

Pada masa sama, ada yang menganggap bahawa rakyat mengibarkan bendera putih kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah gagal dalam mentadbir negara.

Mereka mengingatkan kerajaan untuk bergerak dan bertindak segera, jangan menunggu rakyat kibarkan bendera untuk hidup.

“Bos, tak payah tunggu orang kibar benderalah. Nanti nak mengundi, pandai pula datang rumah ke rumah. Ketika susah begini kena kibar?

“Esok, lusa mati kena soal. Buat kerja bior molek sikit. Pergi je rumah orang beri bantuan sikit sorang. Dok luok pun duit mu tu,” tulis @amierah dalam loghat Kelantan.