Malaysia Dateline

Warganet hairan, guru dapat RM7.3 juta dari mana selepas berputih mata ditipu Macau Scam

Rata-rata warganet hairan bagaimana seorang guru swasta berusia awal 30-an mempunyai wang sebanyak RM7.3 juta sebelum berputih mata ditipu Macau Scam.

Orang ramai mempersoalkan bagaimana individu muda yang bukan menceburi bidang perniagaan secara langsung itu mempunyai wang jutaan ringgit dalam simpanan bank.

Malah, ada yang berharap agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menyiasat sumber wang yang diperoleh guru lelaki itu.

“Mangsa umur 30-an tapi ada duit 7 juta? Kes macam ni SPRM tak mahu siasatkah dari mana dapat duit tu?

“Tak taulah mungkin lepas sekolah dia buat tuisyen sepanjang malam,” sinis pengguna Facebook Muhazzan Mansor.

Dalam masa sama, terdapat juga reaksi netizen yang cuba untuk bersangka baik selain menyindir mengaitkan dengan kemungkinan menerima daripada keluarga Diraja Arab Saudi.

“Harta warisan tu. Berfikiran baik,” kata seorang pengguna Facebook manakala Fariz Mir Ishak memerli, “Duit derma dari Raja Arab”.

Terdahulu, suspek yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dilapor pada mulanya mendakwa guru tersebut mempunyai cukai tertunggak berjumlah hampir belasan ribu ringgit.

Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Senior Asisten Komissioner Victor Sanjos dilapor berkata, mangsa yang agak panik kemudiannya menuruti arahan suspek dan menyambung panggilan kepada seorang individu yang kononnya pegawai polis.

Seterusnya, guru itu memberikan segala butiran akaun miliknya kepada suspek seperti diminta bagi tujuan menyemak akaun milik mangsa sebelum memberitahu akaun milik mangsa terlibat dalam jenayah penggubahan wang haram.

Walau bagaimanapun, warganet dilihat tidak membahaskan mengenai modus operandi penjenayah siber tersebut tetapi perhatian sebaliknya tertumpu pada angka RM7.3 juta yang lesap itu.

Orang ramai berpendapat individu yang mempunyai banyak wang mengikut saluran undang-undang pastinya akan bertindak lebih tenang dengan cara selamat apabila berhadapan panggilan Macam Scam yang menyamar.

“Kalau kau ada duit banyak tu dapat secara halal/legal, kau dihubungi LHDN atau scammer, kau takkan gelabah punya. Kau mesti cool dan cerdik nak selesaikan masalah.

“Tapi kalau kau memang ada ‘sesuatu’ duit simpanan kau pun entah dari mana sumber, kau akan gelabah dan tak boleh fikir waras sampai senang kena tipu,” hujah Hanizul Iskandar.

Baca Ada nenek hilang RM1 juta, ramai tertipu panggilan LHDN dan polis, ini 5 kes mangsa Macau Scam

Baca Dipecat kerana serangan panik akibat kejutan hari jadi, lelaki dapat pampasan RM1.9 juta