Malaysia Dateline

Warganet lancar petisyen desak Mahiaddin letak jawatan

Selepas beberapa kali trending di media sosial dengan tanda pagar #MuhyiddinOut, kali ini warganet mula menggerakkan petisyen yang mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin meletakkan jawatan.

Menerusi laman Change.org, penggerak petisyen tersebut yang menggunakan nama Kerajaanpn Gagal menyatakan bahawa rakyat tidak mahukan lagi sebuah kerajaan yang lemah dan rapuh seperti Perikatan Nasional.

Menurutnya, kelemahan dan kerapuhan PN telah menyebabkan kesihatan rakyat dan ekonomi negara terabai.

“Daulat Tuanku. Menjunjung titah dan menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar Parlimen bersidang dengan kadar segera.

“Daulat Tuanku. Rakyat tidak mahukan sebuah kerajaan yang lemah dan rapuh seperti Perikatan Nasional.

“Kes-kes Covid-19 tidak berkurang, sebaliknya bertambah. Malah keadaan ekonomi semakin menjunam. Oleh itu, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin harus letak jawatan,” tulisnya dalam petisyen itu.

Sehingga Jun, tanda pagar #MuhyiddinOut trending lebih lima kali di media sosial, dan petisyen mendesak beliau letak jawatan adalah yang pertama yang digerakkan.

Terdahulu, Mahiaddin dalam perutusan khasnya berkenaan Pelan Pemulihan Negara mengumumkan bahawa Parlimen hanya akan bersidang sekitar bulan September atau Oktober.

Bagaimanapun pada semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.