Malaysia Dateline

Warganet perli Hadi dapat suntikan kedua vaksin Covid-19

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerima sindiran warganet menerusi hantarannya di Facebook apabila memberitahu dia telah menerima suntikan vaksin buat kali yang kedua.

Rata-rata pengguna media sosial itu mengaitkan dengan tiada lagi alasan untuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus menangguhkan sidang Parlimen.

“Alhamdulillah. Hampir semua MP (ahli Parlimen) sudah divaksin dan kluster Parlimen boleh dah mula bersidang,” kata Mohd Yussainy Md Yusop.

Parlimen juga penting segera dibuka bagi mengetengahkan keluh-kesah ramai rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Dah boleh masuk Parlimen untuk bersidang membawa isu rakyat yang semakin tertekan dengan masalah ekonomi.

“Semoga tiada lagi nas atau dalil yang dikeluarkan untuk mengelakkan Parlimen bersidang,” tempelak Azman Ishak.

Bahkan, tidak kurang yang mempersoal mengapa Parlimen masih tidak bersidang ketika sesi persekolahan sudah berjalan seperti biasa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Tiada alasan Parlimen tidak boleh dibuka. Buat malu kepada budak sekolah saja jika masih tidak dibuka.

“Bukankah pelbagai isu telah dijawab dengan jayanya disertakan dalih-dalih hanya para walaun saja yang mempercayainya,” perli Adlan Basyir.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dalam masa sama turut mengajak orang ramai mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

“Statistik pendaftaran vaksinasi menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih rendah kadar pendaftaran vaksin dengan hanya 33.60 peratus jumlah pendaftaran pada 6 April 2021.

“Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk mendaftar giliran untuk mendapatkan vaksin dengan segera,” katanya lagi.