Malaysia Dateline

Warganet persoal kedai LV dibuka, KPDNHEP kata perniagaan e-dagang dibenarkan

Tular di media sosial memaparkan surat dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang didakwa memberi kelulusan kepada sebuah kedai beg tangan terkemuka untuk beroperasi.

Dikatakan, kedai beg tangan Louis Vuitton (LV) dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Penuh atau total lockdown ketika ini.

Susulan itu, ada yang berpendapat LV kini dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu selepas ianya diluluskan pada 5 Jun lalu.

Menerusi perkongsian seorang warganet, @chrisdanilewong bertanya kepada MITI berhubung kesahihan surat berkenaan.

“Adakah ini benar @MITIMalaysia @AzminAli, LV boleh mengendalikan perkhidmatan penting?,” soal chris.

Twitter Rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kemudian membalas hantaran berkenaan dengan mengatakan pengoperasian kedai itu didaftarkan di bawah sektor e-dagang dan ianya dibenarkan.

“Tidak ada yang dibenarkan masuk ke kedai kecuali perkhidmatan penghantaran untuk mengambil barang yang dipesan oleh pelanggan.

“LV mempunyai platform dalam talian sendiri dan LV  beroperasi melalui CIMS di bawah kategori e-dagang.

“Pelanggan akan melayari produk LV secara dalam talian dan membuat pesanan mereka dalam talian juga,” tulisnya.

Difahamkan, LV memohon pengoperasian kedainya di bawah sektor ‘e-dagang’ atau perdagangan pengedaran.

Menurut KPDNHEP, perkhidmatan di bawah sektor e-dagang dibenarkan beroperasi sama ada perniagaan itu adalah perkhidmatan perlu atau tidak.

“Harap maklum bahawa e-dagang menurut SOP Majlis Keselamatan Negara dibenarkan menjual kedua-dua barang keperluan dan bukan keperluan kerana pergerakan orang ramai yang disekat, kecuali pekerja dalam perkhidmatan penghantaran,” katanya.

Bagaimanapun, keputusan membenarkan kedai LV beroperasi terus mengundang kemarahan orang ramai kerana mendakwa LV tidak sepatutnya membuka kedainya di pasaraya tetapi perlu beroperasi dari gudang.