Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz dilihat mengundang pertikaian warganet lantaran hantarannya di Facebook semalam.
Ahli Parlimen Bachok itu menulis adakala maksiat zahir mendorong rasa sedih, lalu membuka pintu taubat dan keazaman untuk islah.
Walau bagaimanapun, katanya, maksiat dan dosa batin mendorong kepada hati yang lebih keras dan lalai tanpa rasa sedih dan takut.
“Maka para ulamak melihat dosa dan maksiat batin adalah lebih besar dan bahaya ke atas diri berbanding dosa dan maksiat yang zahir.
“Justeru, jauhilah sifat sombong, riya’, rasa aman dan selamat dari makar dan tipudaya Allah, gembira dengan kesusahan orang Islam, hasad, dan seumpamanya,” tulis Nik Abduh dengan gaya memberi tazkirah.
Selanjutnya, Nik Abduh yang pernah mendakwa “boleh bercakap” dengan pihak Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat itu mengingatkan agar pentingnya umat Islam menjaga hati.
“Setiap muslim wajib menjaga dan mengurus hatinya dengan penuh cermat sebagaimana dia menjaga tubuh zahirnya dengan penuh perhatian.
“Hati adalah segala-galanya untuk kehidupan kita di akhirat nanti,” tambah anak Almarhum Tuan Guru Nik Aziz itu lagi.
Sehubungan itu, rata-rata warganet tertanya-tanya dakwaan Nik Abduh berkenaan ‘tipu daya Allah’ yang dimaksudkannya.
“Maaf YB, kurang faham maksud yang tersirat, apakah maksud YB tipu daya Allah itu. Mohon perjelas,” kata seorang pengguna Facebook.
Bahkan, tidak kurang juga mengecam wakil rakyat Pas tersebut dengan antara lain menegaskan tipu daya hanya dari syaitan.
“Tak payah sembanglah YB. Tengok diri sendiri dulu, bukan tipu daya Allah. Kami semua ini termakan tipu daya YB,” perli Muhammad Hazrimie.
Dalam masa sama, ada yang turut mengingatkan agar orang ramai bersangka baik dan berpendapat mungkin berlaku kesilapan.
“Harus bersangka baik. ‘Tipu daya Allah’ mungkin keyboard atau phone bermasalah, typo. Adalah lebih bijaksana, pm tepi, beritahu untuk dperbetulkan, melainkan memang itu ayat yang mahu diguna,” nasihat Muhammad Fahmiey.
Walau bagaimanapun, sehingga hari ini selepas 24 jam hantaran itu dimuatnaik, Nik Abduh masih mengekalkan ungkapan ‘tipu daya Allah’ itu.
LANJUT MENYUSUL