Malaysia Dateline

Warganet ‘sekolahkan’ Imam Besar Masjid Putrajaya

Penjelasan Imam Besar Masjid Putra, Ikmal Zaidi Hashim dengan pemilihan kata dan nada suara yang agak tidak bersesuaian berhubung isu VIP dan solat Jumaat dilihat mengundang kecaman warganet.

Orang ramai rata-ratanya menganggap Ikmal kelihatan angkuh benar apabila antara lain berkata tidak redha dengan individu yang merakam video di depan pintu pagar masjid itu pada 10 September lalu.

Menerusi siaran langsung di Facebook miliknya, dia juga menggesa individu terbabit bertemu dengannya untuk meminta maaf selepas menegaskan VIP ada hak kuota 10 peratus.

“Siapa tetapkan (kehadiran jemaah solat Jumaat) 10 peratus? Apa asas cakap “itu hak dia”?

“Ambil dari kitab mana?” bidas Ahmad Zunaidi Zulkipele.

Peruntukan hanya 300 jemaah sebagai kuota untuk masjid bersaiz amat besar itu juga mengundang kecaman.

“Ustaz ini, sepatutnya kita doakan agar dapat hidayah Allah, agar jangan tunduk kepada SOP karut-marut ini,” tegas Abu Hamzah.

Untuk rekod, laman web rasmi Masjid Putra memaklumkan dewan solat utama di aras G boleh memuatkan sehingga 8,000 jemaah dalam satu-satu masa.

Sementara itu, dewan solat aras 1 untuk wanita pula boleh menampung sehingga 2,000 jemaah.

“Masjid Putra ada ruang yang besar, atas dan bawah. Tiada isu pun jika nak tambah bilangan jemaah,” kata Harris Muhammad.

Dalam masa sama, ramai turut mempersoal kelayakan dari segi kesabaran sebagai seorang imam apabila berdepan dengan teguran masyarakat.

“Tak redha, minta jemaah datang mohon maaf pada dia. Jika keadaan semacam ini pun imam tidak mampu menerimanya dengan redha dan sabar, imam apa?

“Lebih baik jangan jadi imam kerana imam itu sifatnya sangat lunak, sabar dan rendah diri,” kata Badiuzzaman Ali.