Malaysia Dateline

Warganet ucap ‘tahniah’ selepas Ahmad Maslan bebas tuduhan

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepaskan dan membebaskan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan daripada tuduhan gagal mengisytiharkan penerimaan wang RM2 juta dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menarik perhatian warganet.

Rata-ratanya secara menyindir mengucapkan ‘tahniah’ ekoran tindakan pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan selepas Ahmad membayar kompaun RM1.1 juta.

“Dah ramai sangat jerung dibebaskan,” komen pengguna Facebook Khairul Azhar.

Tidak kurang juga yang mengaitkan ‘durian runtuh’ yang diterima Ahmad hari ini dengan ‘kerajaan Melayu Islam’ yang sekarang diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Berkat bersama kerajaan Islam,” perli Anuar manakala Awaludin Effendy pula menulis, “Melayu Islam memimpin namanya ni.”

Dalam masa sama, isu ‘kluster mahkamah’ turut ditimbulkan yang merujuk kepada sejumlah pemimpin Umno yang menghadapi tuduhan jenayah di mahkamah.

“Seorang lagi kluster mahkamah bebas,” komen ringkas Mohd Ikhmal Mohd Iskandar.

Selain Ahmad, Ahli Parlimen Umno yang termasuk dalam ‘kluster mahkamah’ ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan itu, warganet juga menyifatkan apa sahaja boleh berlaku apabila kuasa sudah berada dalam genggaman.

“Ada kuasa, kebal jadinya,” kata Azim Hamid.

Serentak dengan keputusan terhadap Ahmad, perkataan ‘Umno’ juga muncul menjadi sohor kini di Twitter dengan 1,587 ciapan setakat tengah hari ini.

“Harga sebuah pengkhianatan Umno kepada Bersatu.

“Seperti saya selalu kata, jangan kata penjara, lokap pun belum tentu mereka boleh tahan. Jadi sanggup buat apa sahaja untuk bebas,” ciap Iswardy Morni Official di Twitter.