Waris anggota bomba tragedi Puchong akan terima bantuan

Waris anggota bomba tragedi Puchong akan terima bantuan

Waris enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang lemas di tebatan lombong Taman Putra Perdana, Puchong kelmarin akan menerima bantuan menerusi insurans, pencen dan ex-gratia Kumpulan Wang Kebajikan Bomba (KWKB).

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah, berkata kebajikan anggota bomba termasuk waris mereka sentiasa menjadi keutamaan.

“Memang kebajikan jadi satu keutamaan, dan kita akan cuba memberi seberapa banyak mungkin bantuan kepada keluarga mereka yang terbabit,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat JBPM, di sini, hari ini.

TIMBALAN Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah memeriksa perbarisan ketika melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat JBPM di Putrajaya, hari ini

Turut hadir, Ketua Pengarah JBPM, Mohd Hamdan Wahid.

Kelmarin, enam anggota PPDA JBPM lemas ketika Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) remaja yang terjatuh di tebatan lombong Taman Putra Perdana, Puchong.

Berhubung cadangan Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (WASC), Tan Sri Lee Lam Thye, supaya siasatan khas diadakan bagi mengkaji prosedur operasi standard (SOP) sedia ada berkaitan SAR di air, katanya setakat ini siasatan di peringkat kementerian memadai.

“Kita ada siasatan kita sendiri, dan selain daripada itu belum ada keperluan lagi. Siasatan kita sudah memadai dalam skop yang biasa dijalankan dan tidak perlu lebih daripada apa yang biasa kita amalkan,” katanya dipetik BH Online.

Sementara itu, sumber memberitahu waris enam anggota bomba yang terkorban itu layak menerima pampasan insurans sehingga RM40,000.

“Menerusi polisi Skim Insurans Takaful Berkelompok, kes kematian, keilatan kekal dan menyeluruh, keilatan separa kekal akibat kemalangan ketika melaksanakan tugas layak menerima pampasan sehingga RM40,000.

“Bagi kematian atau keilatan kekal dan menyeluruh atau keilatan separa kekal atas sebab semula jadi pula layak menerima sehingga RM25,000,” katanya sambil menambah setiap waris juga layak menerima khairat kematian sebanyak RM3,000.

Mengenai pencen kepada waris pula, sumber memberitahu, pembayaran akan dibuat mengikut jumlah tahun perkhidmatan setiap anggota berkenaan.

“Namun, formula pengiraan pencen untuk anggota yang terkorban ketika melaksanakan tugas agak lain sedikit berbanding pencen wajib tetapi jumlah minimum adalah RM750,” katanya.

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote