Malaysia Dateline

WARISAN berjaya selesaikan isu tanah rakyat, kata MP Kalabakan

Parti Warisan Sabah (WARISAN) mampu menyelesaikan isu tanah apabila telah menyerahkan geran kepada rakyat di negeri ini hanya dalam tempoh dua tahun mentadbir.

Menurut Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’Mun Sulaiman (gambar), walaupun hanya dalam tempoh dua tahun, WARISAN mampu menyelesaikan isu berkenaan dan memulangkan hak tanah kepada rakyat Sabah yang telah lama menunggu sebelum ini.

Juateru, katanya tindakan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjelajah ke seluruh negeri ini untuk menyerahkan geran tanah seharusnya tidak perlu dipertikaikan.

“Tindakan parti lain yang mempersoalkan keikhlasan Ketua Menteri memulangkan tanah kepada rakyat, mungkin disebabkan syarikat kroni tidak lagi mampu menebang balak.

“Penyerahan geran tanah kepada rakyat bukan perkara baharu, malah sejak awal 2019 lagi Shafie telah menjelajah ke seluruh negeri untuk menyerahkan geran tanah itu.

“Dan tahun ini, ribuan hektar tanah dikeluarkan dari status Hutan Simpan Kekal oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kerana ada perkampungan rakyat di situ,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Ma’Mun menegaskan, di Kalabakan, terdapat penempatan kaum Murut sejak lebih 30 tahun lalu tetapi tiba-tiba sahaja menjadi setinggan kerana tanah itu diambil semasa kerajaan di bawah Parti Bersatu Sabah (PBS) dan UMNO.

“Saya telah membawa masalah itu kepada Ketua Menteri
dan kini kaum Murut di Kalabakan tidak lagi merempat di atas tanah sendiri selepas memperoleh geran tanah mereka,” tambahnya.

Pada masa sama, Ma’Mun turut menganggap kenyataan Setiausaha Agung PBS Datuk Jahid Jahim yang mengkritik usaha WARISAN menyerahkan geran tanah kepada rakyat sebagai tindakan yang memalukan dan memualkan.

“Saya nak tanya, selama 40 tahun apa yang dilakukan PBS untuk menyesaikan isu berkenaan kalau bukan memberikan tanah kepada kroni sahaja.

“Sudah tentu Jahid sedang berkhayal dengan mendakwa pemberian geran tanah itu adalah hasil usaha Barisan Nasional (BN).

“Kalau betul mereka yang berusaha, perlukah rakyat menunggu sehingga 30 atau 40 tahun sedangkan WARISAN berjaya menyelesaikan masalah itu hanya dalam tempoh dua tahun,” soal beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau tidak terkejut dengan kritikan Jahid kerana ia datang daripada PBS yang bersekongkol dengan UMNO dan menjadi dalang utama merompak hasil hutan Sabah untuk kepentingan mereka tanpa mempedulikan rakyat selama ini.