Malaysia Dateline

Warisan bertegas tidak akan sokong PN

Parti Warisan Sabah (Warisan) menegaskan keputusan parti itu untuk tidak menyokong pemerintahan Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, dakwaan yang mengaitkan Warisan seolah-olah memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) juga adalah tidak benar dan berniat jahat.

Bahkan katanya, semua Ahli Parlimen pembangkang terutama Warisan akan terus mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan Kabinetnya untuk mengundurkan diri.

“Dengan merujuk kepada proses Parlimen, kami menuntut agar Parlimen segera bersidang untuk membuktikan apakah Mahiaddin memang mendapat sokongan di Dewan Rakyat.

“Itu akan menjernihkan keadaan dan tidak perlu menunggu hingga September. Usul undi percaya ini harus menjadi satu-satunya isu yang dibahaskan dalam sesi terdekat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pendirian tersebut turut dizahirkan bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Anak Kujat, Ahli Parlimen Selangau, Ahli Parlimen Baru Bian dan Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Sementara itu Shafie berkata, usul tersebut kelak tidak boleh dicampur adukkan dengan isu-isu lain mengenai Rancangan Malaysia ke-12 dan belanjawan yang akan dibahaskan dalam sesi Parlimen September ini.