Malaysia Dateline

Warisan lantik Rozman ketuai jentera pilihan raya Kimanis bagi kawasan Labuan

Parti Warisan Sabah (Warisan) melantik Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli mengetuai jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis bagi kawasan Labuan.

Berikutan pelantikan itu oleh presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Rozman diminta melancarkan jentera pilihan raya di kawasannya bersama-sama parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan UPKO untuk mencari pengundi Kimanis dan mengadakan kempen di sini.

Menurut Rozman, lebih 100 pengundi berdaftar Kimanis bekerja dan tinggal di Labuan.

Rozman yang merupakan ketua bahagian Warisan Labuan berkata beliau mengadakan mesyuarat dengan parti komponen PH hari ini bagi membincangkan kerjasama menjelang PRK itu.

Warisan telah mendapat lampu hijau daripada rakan PH Sabah untuk bertanding pada PRK itu.

Pada 16 Disember, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kimanis pada 18 Jan, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 4 Jan, manakala pengundian awal akan dilaksanakan pada 14 Januari..

PRK Parlimen Kimanis diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen itu setelah Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di Parlimen Kimanis pada PRU14 itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

— BERNAMA