Malaysia Dateline

Warisan nafi 4 MP keluar parti dan sokong PN

Parti Warisan Sabah (Warisan) menyangkal laporan berita oleh Harian Metro yang mengatakan bahawa terdapat empat orang Ahli Parlimen parti itu keluar parti dan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Dalam satu kenyataan semalam Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua berkata, perkara tersebut tidak benar sama sekali.

“Ini hanyalah permainan persepsi oleh PN kerana mereka takut dengan sokongan yang diberikan kepada PH Plus.

“Permainan ini bukan sahaja dimainkan ke atas Ahli Parlimen Warisan tetapi juga Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri agar mereka menyokong PN,” katanya.

Jelas beliau, PN sudah ketandusan, mereka berani menjual nama Ahli- Ahli Parlimen kononnya mereka telah bersetuju untuk melompat.

Katanya lagi, secara peribadi beliau selalu menghubungi mereka dan mereka optimis sentiasa teguh di belakang Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hj Mohd Shafie Apdal.

Semalam, Harian Metro melaporkan sekurang-kurangnya empat Ahli Parlimen dari parti Warisan dikatakan akan bertindak keluar parti dan menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam waktu terdekat.

Sumber berkata, mereka termasuk seorang wanita itu sudah membuat keputusan berkenaan susulan kedudukan politik negeri yang dilihat tidak stabil.

Katanya, perbincangan mengenai perkara itu sudah dibuat selepas pembentukan kerajaan PN Mac lalu, namun tindakan itu ditangguh kerana penularan wabak Covid-19.

Ada perbincangan bersama enam orang Ahli Parlimen dari WARISAN yang pada awalnya bersetuju untuk bersama-sama PN sebagai kerajaan, menurut laporan itu.

Warisan mempunyai sembilan wakil di Parlimen ketika ini termasuk Mohd Shafie (Semporna), Ahmad Hassan (Papar), Ma’mun Sulaiman (Kalabakan), Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), Datuk Mohamaddin Ketapi (Silam), Mohd Azis Jamman (Sepanggar), Darell Leiking (Penampang), Datuk Liew Vui Keong (Batu Sapi) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli.