Malaysia Dateline

Warisan Plus mula bergaya, BN PN haru biru

Warisan Plus menampakkan laluan untuk menang selesa dalam pilihan raya Sabah kali ini apabila berjaya menyelesaikan segala masalah di kalangan mereka dengan baik ketika lawan mereka iaitu Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) haru biru.

Walaupun pada asalnya mereka bimbang dengan keputusan PKR untuk bertanding 14 kerusi tetapi akhirnya PKR setuju dengan tujuh kerusi yang dipersetujui menjadikan Warisan Plus yang menggabungkan parti itu dengan Pakatan Harapan dan Upko bakal menghadapi hari penamaan calon esok dengan baik.

Sementara itu pihak lawan mereka pula kelihatan masih gagal menemui jalan penyelesaian dengan sekurang-kurang enam kerusi BN dilanggar oleh PN apabila PBS mengumumkan calon mereka malam tadi.

20 ketua bahagian Umno Sabah yang bersama dengan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan mengumumkan penolakan mereka ke atas perlantikan Datuk Bung Mokhtar Radin sebagai Pengarah Pilihan Raya BN telah diketepikan langsung dalam senarai calon BN yang diumumkan Bung Mokhtar.

“20 ketua bahagian yang bersama Rahman Dahlan telah diketepikan. Saya rasa Shafie akan menang dalam PRN ini,” kata seorang pemimpin veteran Umno dalam satu kumpulan whatsapp.

DI MANA PAS DALAM PRN SABAH

Sementara itu, rakan mereka di Semenanjung iaitu Pas kelihatan tidak tahu apa yang berlaku apabila hasrat mereka untuk bertanding 10 kerusi tidak dilayan oleh BN iaitu Umno atau Bersatu melalui PN.

Ia berlaku apabila Pas tidak diambil kira langsung ketika kedua-dua kumpulan yang bekerjasama dengan Pas itu mengumumkan calon-calon mereka, seolah-olah Pas tidak wujud langsung di Sabah.

Sedangkan parti serpihan Pas yang baru diwujudkan iaitu AMANAH telah diberikan satu kerusi yang dikira selamat untuk bertanding dalam pilihan raya kali ini.

AMANAH melalui calonnya Rosdy Wasli akan bertanding di kerusi Tanjung Keramat yang terletak di sekitar Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Beliau akan menggunakan logo Warisan sebagaimana yang diputuskan oleh AMANAH sejak 12 September lalu.

Malaysia Dateline difahamkan semua parti Warisan Plus akan menggunakan logo yang sama iaitu kapal layar iaitu logo Warisan.

Media Oren yang dimiliki AMANAH mendapat penghormatan menjadi badan media rasmi Warisan Plus dalam PRN Sabah.

Badan media milik AMANAH, Media Oren telah menjadi jentera penerangan rasmi untuk Warisan Plus bermula dengan majlis pengumuman calon Warisan Plus semalam.

Pesuruhjaya Pas Sabah, Aminuddin Aling memberitahu media, beliau tidak dijemput oleh kedua-dua kumpulan samada BN atau PN ketika masing-masing mengumumkan calon.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadly Shaari membuat catatan yang menarik selepas kehadiran Pas di Sabah tidak diambil kira oleh Umno atau Bersatu di Sabah.

Dalam catatanĀ  itu, Ahli Parlimen Pasir Mas itu menulis “Orang berbudi kita berbahasa, orang tidak berbudi, tak payahlah kita berbahasa.”

Ia telah mendapat respon pantas dari penyokong beliau termasuk mendesak Pas agar mempertimbangkan kembali kedudukannya.

“Pengkhianat pun dapat kerusi, kita yang bantu ketika mereka tidak ada apa-apa melopong…bagus keluar,” tulis rakan Fadly, Arif Bahari.

“Sungguh! Jangan sampai ditolak ansur-ansur,” tulis Azhar Ibrahim Cikgu At.

Suhaimi Said Al-Qad’hi pula mahu apa yang berlaku di Sabah ini menjadi pengajaran kepada Pas dan tidak bertolak ansur di Kedah, Kelantan dan Terengganu nanti.

Faizul Jalal menulis: “Hikmah nya skarang kita tau sapa lawan sapa kawan… Betul la kata pimpinan.. PRN Sabah ni bagai satu simulasi untuk PRU 15 akan datang.”

Zafri Jamaludin menulis: “Pernah dengar TG Haji Hadi kata tentang isu tak boleh jatuh ke lubang sama 2 kali.. Tapi bila musuh nak damai hulur tangan.. Kita perlu terima.. Tapi bila kali ke2 musuh nak khianat.. Cukup hanya bergantung kepada Allah..”

Hikam Abu Bakar pula menulis: “Keluar PN ja la YB.. Kembali kepada matlamat asal perjuangan. Bersendirian lebih baik. Kita tak kejar Putrajaya, kita kejar redho Allah. Buat apa kalau bersama mereka, kita asyik dilupakan. Bila susah cari tongkat untuk menahan. Bila dah senang, tongkat di buang. Huhu”