Warisan serah dokumen syarikat konsesi balak Yayasan Sabah ke SPRM

Warisan serah dokumen syarikat konsesi balak Yayasan Sabah ke SPRM

Parti Warisan Sabah hari ini menyerahkan dokumen berkaitan pemeteraian perjanjian konsesi pembalakan yang didakwa berat sebelah membabitkan Yayasan Sabah dan sebuah syarikat konsensi pembalakan sejak 2013 lalu ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM). 

Naib Presiden Junz Wong (Gambar kanan) berkata, perkara ini pernah dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri Sabah pada Ogos lalu tetapi ia tidak dapat memberikan jawaban yang munasabah oleh pihak kerajaan negeri dan  wakil rakyat BN.

Sebaliknya Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin mencabar beliau untuk mengemukakan bukti kepada pihak berkuasa sebagaimana yang telah dibentangkan dalam sidang dewan undangan negeri.

“Dalam sidang dewan undang negeri kita sudah bangkitkan hal sama. Namun timbalan ketua menteri Sabah mencabar kita untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya ada bukti terhadap isu pembalakan ini.

“Jadi saya hari ini datang ke SPRM untuk membuat laporan kerana hingga hari ini kerajaan negeri tidak memberikan sebarang jawapan terhadap persoalan ini sejak sekian lama.

“Rakyat Sabah ingin tahu perkara sebenar kerana Yayasan Sabah adalah milik rakyat Sabah,” ujarnya kepada media.

Beliau hadir ke SPRM bersama Biro Undang-Undang Warisan Jakariya Ab Jalil (Gambar kiri) untuk menyerahkan bukti dokumen perjanjian yang diperoleh antara Yayasan Sabah dengan syarikat konsesi terbabit yang beroperasi di Tawau Sabah itu.

Menurut Junz Wong lagi, syarikat berkenaan telah diberikan surat tawaran pada Mei 2013 yang menunjukkan bahawa kerajaan Sabah melalui Yayasana Sabah telah memeterai perjanjian pembalakan yang berat sebelah tidak menguntungkan kerajaan negeri dan rakyat Sabah.

Berdasar kepada surat itu, antaranya Yayasan Sabah telah menganugerahkan konsesi pembalakan dengan membenarkan penggunaan helikopter kepada syarikat yang menjalankan kerja-kerja pembalakan di kawasan hutan tersebut.

Bagaimanapun menurutnya kawasan pembalakan yang diberikan kepada syarikat konsesi tersebut adalah di kawasan Rizab Hutan Gunung Rara di Kalabakan yang mana ujarnya, membawa kesan kepada hidupan liar dan ekologi di hutan rizab berkenaan.

“Kita nak tahu adakah kontrak yang diberikan oleh kerajaan ini secara terbuka atau sebaliknya yang tidak menepati polisi kerajaan negeri apabila membenarkan penggunaan helikopter bagi pengangkutan kayu balak.

“Dalam perjanjian itu juga tidak dinyatakan apa jenis pokok yang dibenarkan ditebang bagi tujuan pembalakan,” ujarnya.

Junz  Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)  Likas turut mempertikaikan berkaitan harga kayu yang dikeluarkan dari hutan berkenaan tidak selaras dengan harga pasaran bagi setiap semeter padu kayu balak.

” Kayu balak dijual pada harga RM65 semeterpadu sedangkan jika mengikut pasaran hari ini ia boleh mencecah sehingga AS$275 mengikut jenis kayu,” ujarnya.

Sebagai rekod jumlah pengeluaran balak yang dijangkakan, dianggar sekitar 20,000-25,000 meter padu sebulan.

Namun persoalan yang pernah dibangkitkan beliau di dalam dewan undangan negeri, adalah berapa banyak jumlah kayu yang telah dibalak dari kawasan hutan tersebut dan jumlah pendapatan yang diperolehi oleh Yayasan Sabah secara keseluruhan.

Difahamkan juga syarikat konsesi itu diberi keistimewaan dengan dilantik sebagai pembeli eksklusif untuk kayu balak yang dikeluarkan dari kawasan pembalakan helikopter berkenaan tetapi dengan harga tidak mengikut harga pasaran semasa.

CATEGORIES
TAGS