Malaysia Dateline

Warisan sambut baik darurat di Batu Sapi

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk melaksanakan darurat di Parlimen Batu Sapi.

Shafie berkata, dalam melaksanakan proses demokrasi, kesihatan rakyat tidak boleh dijadikan pertaruhan sebaliknya perlu menjadi keutamaan dalam situasi negara ketika ini yang masih berjuang menentang penularan Covid-19.

Bagaimanapun katanya, kerajaan diharap dapat mencari jalan terbaik agar menetapkan satu tarikh untuk memberitahu rakyat terutama di kawasan Batu Sapi bila tempoh darurat akan berakhir.

“Warisan berpendapat setiap rakyat di Batu Sapi perlu mempunyai pemimpin yang mewakili mereka dan membawa isu-isu rakyat di Parlimen.

“Warisan berharap hak rakyat Batu Sapi untuk memilih wakil rakyat ditunaikan sebaik sahaja jangkitan Covid-19 dapat dikawal dan selepas kerajaan menarik balik pelaksanaan darurat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada semalam, Parlimen Batu Sapi di Sabah diisytiharkan darurat dan dengan itu, sebarang Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan dibenarkan untuk diadakan.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Negara, Al Sultan Abdullah perkenan untuk mengisytiharkan perintah darurat di Parlimen tersebut dan bertitah amatlah wajar PRK Batu Sapi dibatal dan ditangguhkan demi keselamatan rakyat jelata dan kesejahteraan negara.

Sementara itu, Shafie menegaskan agar kerajaan dapat memberi jaminan agar kebajikan setiap rakyat di Batu Sapi terutama bantuan makanan dan keperluan harian sentiasa diutamakan tanpa ada pilih kasih sepanjang tempoh darurat dikuatkuasa.