Warisan nafi 4 cawangan Bahagian Libaran bubar

Warisan nafi 4 cawangan Bahagian Libaran bubar

Dakwaan yang mengatakan seramai 1,357 ahli Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Libaran keluar parti adalah satu pembohongan sekali gus mengelirukan rakyat di negeri ini bahawa parti itu tidak lagi mendapat sokongan.

Justeru, Naib Ketua Bahagian, Mohamad Mirodin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dengan menyifatkan ia adalah berniat jahat.

Menurut beliau, rekod dalam Warisan Bahagian Libaran mendapati hanya terdapat empat cawangan di Gum-Gum yang berdaftar ketika ini.

Katanya, empat cawangan berkenaan adalah yang berdaftar dan masih kukuh serta menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan parti.

“Kepada kumpulan yang kononnya mengisytiharkan keluar Warisan itu sebenarnya adalah orang sama yang sebelum ini juga telah mengumumkan keluar parti.

“Dan empat cawangan itu masih utuh bersama kami, maka dakwaan tersebut sebenarnya adalah untuk menimbulkan provokasi serta memburukkan nama Warisan.

“Dengan alasan bahawa kepimpinan parti tidak pernah melawat dan mengambil tahu permasalahan di peringkat cawangan, juga adalah tidak benar kerana sejak memerintah, pimpinan pusat kerap datang melawat dan berdialog serta mendengar permasalahan di peringkat akar umbi,” tegas Mohamad dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, beliau sendiri selaku Naib Ketua Bahagian sering turun ke kawasan berjumpa dengan pimpinan akar umbi bagi menjalankan beberapa program dan aktiviti.

“Saya berharap agar pihak yang tidak bertanggungjawab berhenti bercakap bohong hanya untuk kepentingan politik sendiri.

“Kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya terdapat di kalangan mereka yang bukan ahli menyalahgunakan nama parti untuk kepentingan diri.

“Kita turut yakin dengan kesatuan yang ditunjukkan oleh pejuang lama dan baharu terutamanya di Libaran, Warisan bahagian ini akan bertambah mantap serta terus menyokong kepemimpinan Presiden parti, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal,” ujar beliau lagi.

COMMENTS

Wordpress (0)