Malaysia Dateline

Warisan tunai 13 janji manifesto

Parti Warisan Sabah (Warisan) telah menunaikan hampir kesemua 13 janji manifesto pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu walaupun hanya dua tahun memegang tampuk pemerintahan di negeri Sabah.

Menurut Naib Presidennya, Datuk Jaujan Sambakong, sejak Warisan menerajui negeri Sabah banyak yang sudah dilaksanakan terutamanya dalam menyelesaikan masalah rakyat dan pembangunan di negeri ini.

Katanya, pelaksanan itu adalah daripada janji manifesto PRU14 lalu dan sebahagiannya masih dalam perancangan setelah meneliti segala aspek seperti yang dirancangkan.

“Sebenarnya, kita berusaha menyelesaikan setiap permasalahan yang disuarakan oleh rakyat khususnya melibatkan hak-hak mereka yang sudah dicabuli oleh kerajaan sebelum ini.

“Malah semasa PRU14 lalu kita telah menerima pelbagai rungutan daripada rakyat berkaitan hak milik tanah pusaka nenek moyang mereka yang dirampas oleh pihak tertentu,” jelasnya.

Jaujan menegaskan, kerajaan negeri yang diketuai Warisan telah sedaya-upaya mengotakan janji untuk menyiasat perkara tersebut sekali gus
memberikan hak kepada mereka yang membuat tuntutan berkenaan.

“Inilah yang kita lakukan untuk seluruh rakyat Sabah selepas hak yang sekian lama menjadi tuntutan mereka kepada pemerintahan kerajaan lama gagal diselesaikan.

“Dan ternyata, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal sendiri yang turun memberikan geran tanah kepada 2,300 penama di Keningau, malah banyak lagi penama di tempa lain yang akan diberikan selepas keadaan pandemik COVID-19 pulih nanti,” katanya.

Justeru, beliau menafikan kecaman daripada parti pembangkang yang
mengatakan selama Warisan memegang pemerintahan tiada satu pun manisfesto yang ditunaikan.

“Ia merupakan satu tuduhan yang tidak berasas dan kita anggap tuduhan tersebut hanya cerita politik,” ujarnya.