Warkah Buat Bendahara Melaka

Hamba menulis warkah ini kepada Dato Bendahara kerana banyak hal yang hendak hamba utarakan. Selain ingin mengucap tahniah atas pemashyuran Dato selaku Bendahara pada tanah bertuah ini, ada beberapa perkara yang ingin hamba nyatakan dalam kesempatan ini. Sebenarnya warkah ini ditulis beberapa minggu selepas Dato Bendahara dimasyhurkan tetapi baru sekarang hamba sampaikan bingkisan ini.

Maaflah kerana berwarkah beralamat pada media maya. Hamba harap jika Dato Bendahara terlepas baca, akan ada yang terselit seorang dua membaca warkah ini dan menyampaikannya pada Dato. Hamba mengerti memikul amanah besar di negeri sekaya Melaka ini masa lapang atau bersantai tidak seperti dulu. Hambapun sepekan dua ini sibuk juga di sini. Tidak sempat untuk bermudik ke muara Sungai Perak.

Sementalahan Dato Bendahara ditaklif sebagai pembesar negeri yang paling utama, hamba-hamba sekalianpun tumpang bahagia dan bersyukur. Ini kerana kita pernah seperguruan dan sepertapaan. Jika ada langkah silat Dato Bendahara yang terlupa, bolehlah hamba ingatkan. Asal saja, Dato Bendahara mampu melangkah gagah ke hadapan, hamba tumpang bahagia.

Penulis bersama Adly Zahary, Ketua Menteri Melaka.

Memang sewaktu dulu, Dato boleh berkebun, bermain ikan di kali atau membakar kambing menjamu kawan sepermainan. Hari ini, sukar mencari saat-saat begitu. Bukan kerana hilang minat atau berasa hati tetapi tuntutan amanah baru bertali arus perlukan Dato berada di lapangan. Sudah takdirnya begitu.

Beberapa pekan yang lalu, ombak Selat Melaka memukul pantai pasir hingga tenggelam kota Nenek Kebayan. Rupanya nenek kebayan sudah terlalu tua untuk menjaga negeri dan kerajaan Melaka yang bersejarah. Nenek kebayan itu bukan jelmaan Puteri Gunung Ledang yang jelita rupawan.

Entah berapa lama rakyat jelata disihir untuk percaya Nenek Kebayan itu jelmaan Puteri Gunung Ledang. Sejak zaman Sultan Mahmud Shah enggan menumpahkan secawan gelas darah putera mahkota baginda, Puteri Gunung Ledang terus merajuk membawa diri bersembunyi. Tiada siapa mengetahui di mana puteri itu pergi. Bertuah sungguh Dato Bendahara, bertakhta di negeri tanpa bersultan.

Alhamdulillah harap pupus sudah khurafat yang mempercayai bahawa hanya Nenek Kebayan atau Puteri Gunung Ledang sahaja yang boleh menjaga tanah negeri. Rakyat jelata biasa pun boleh memikulnya. Yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul.

Awalnya, dikhabarkan oleh angin yang lalu, Datok bermazhab Syiah. Subbahanallah ada-ada saja mereka mahu mencipta cerita. Tapi berdosa sungguhkah jika bermazhab Syiah? Tiada tahukah bahawa Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Ali Hanafiah dibacakan buat peniup semangat jihad dan syahid pada perajurit bangsa.

Karya-karya itu karangan penulis Syiah yang sekian lama bermustautin di rantau ini. Apakah mereka lupa tentang sejarah bagaimana pahlawan-pahlawan Melaka bangkit bersemangat menentang penjajah Feringgi yang kafir. Atau mereka belum diajar berbudi dan berbahasa?

Bukankah Melaka ini negeri bertaraf antarabangsa? Banyak bangsa dan agama bertandang dan menumpang. Bukan Sunni saja yang tinggal pada tanah ini tetapi segala aliran pemikiran lain juga ingin merasai keadian pemerintah kerajaan Sunni yang berpegang kuat dengan ajaran al Quran dan Hadis.

Di sini juga, khabarnya ada lapangan terbang antarabangsa, dan pusat Melayu sedunia juga berpaksi di sini. Pusat snooker dan bowling antarabangsapun ada. Hambapun seakan terkeliru memaknakan ‘antarabangsa’ itu sebagai slogan papan tanda atau kualiti kepelbagaian dan majmuk yang diadun harmoni.

Hamba teruja sebagaimana orang bawahan dan rakyat jelata Dato Bendahara diberi peluang untuk bersiar di setiap penjuru singgahsana Dato secara percuma. Berbondong-bondonglah orang kota dan desa merasai nikmat berada dalam singgahsana mercu tanda kerajaan lama.

Cuma hamba sedikit menaruh bimbang jika mereka yang melawat itu terjangkit penyakit ‘hubbu dunia’ yang kronik dalam hati bersih mereka.

Melihat kesenangan dunia adalah satu nikmat. Menikmati kesenangan dunia pula satu rahmat. Namun memperolehi kesenangan dunia atas kepayahan orang lain adalah satu kezaliman.

Atau Dato Bendahara mahu mengkhabarkan secara halus bahawa penguasa silam hidupnya dilimpahi kemewahan? Sedangkan rakyat biasa masih ada yang kais pagi, makan pagi dan kais petang, makan petang.

Hamba cuma bertanya, sekadar hamba teringat kisah khalifah Umar yang hanya memiliki dua helai jubah saat beliau menjawat gelaran Amirul Mukminin.

Dato Bendahara, telah hamba siasat dari suara rakyat di akar perdu, umbi membumi suatu belum berlaku ombak besar yang mengubah pantai pasir negeri Dato.

Banyak maqam-maqam besar disabitkan nama orang besar dibuat bukan kerana menghargai kehebatan sejarah silam. Hamba mendengar, tiada sirah rawinya yang dapat diyakini. Hamba tidak mahu sejarah negara dibina dengan himpunan hujah palsu yang bersalut kepentingan duit.

Cuma pohon hamba kepada Dato Bendahara agar meluruskan kembali sejarah silam dengan membina sejarah baru yang lebih berpengetahuan dan bijaksana. Semoga para wisata dan para pengembara dunia mendapat ikhtibar dari ziarah mereka ke negeri ini.

Seterusnya hamba mahu berkongsi di sini, tiadalah hamba lupa akan keenakan masakan asam pedas Melaka. Sungguh bijak tukang masak dahulu kala mencipta masakan seisi keluarga.
Rupa-rupanya rasa asam pedas yang tidak digemari orang mempunyai nikmat lidah yang cukup istemewa.

Banyak falsafah yang hendak disampaikan sebelum juadah masuk ke mulut.

Sesuatu kritikan yang pedas hendaklah dilihat secara positif. Begitulah juga asam yang masam, bukan bermakna tiada guna.

Jangan terpesona dengan manis dan lemaknya orang berkata. Periksa dahulu sebelum terima kata-kata yang begitu.

Akhir kalam sebelum hamba berundur, hamba tinggalkan sebuah pesanan yang pernah disebut oleh baginda saidina Ali Abi Talib kwj, ‘Aku sudah pernah merasakan semua kepahitan dalam hidup dan yang paling pahit ialah berharap kepada manusia’.

Dengan mutiara kata itu, hamba akhirkan warkah ini.