Malaysia Dateline

Warkah ikhlas buat Tan Sri Muhyiddin Yassin

Begini Tan Sri, saya menulis ini bukan untuk mengecam, tetapi membantu.

Pertamanya, saya mengandaikan seluruh jemaah menteri Tan Sri dalam keadaan stres atau mental block mahupun tidak sihat dalam menghadapi pandemik Covid-19 ini.

Sebab itu sewenang-wenangnya PKP ini dilanjutkan tanpa sebarang rasional yang boleh diterima akal. PKP dilanjutkan dengan SOP lebih ketat?

Jadi, selama dua minggu lepas, jemaah menteri Tan Sri hanya hendak membuat uji kaji main-main atau apa kepada masa depan negara?

Begini Tan Sri, saya menulis ini bukan untuk mengecam tetapi membantu. Percayalah.

Tan Sri berkemampuan untuk mencipta sejarah, iaitu kerajaan yang paling kerap mengadakan sidang media dan perutusan.

Mungkin rakyat sudah bosan melihat sidang media harian oleh Menteri Pertahanan dan Ketua Pengarah Kesihatan. Bahkan, juga menonton perutusan Tan Sri sendiri.

Ada juga yang mencela Tan Sri sebagai Abahcow sekarang.. Astagfirullah..

Jadi, Tan Sri mesti memberi peluang kepada Menteri-Menteri yang lain untuk muncul di kaca televisyen dan media sosial membuat sidang media dan perutusan. Mudah-mudahan memberi semangat baharu untuk mereka.

Jikalau Tan Sri lupa, terdapat 31 kementerian yang sepatutnya membuat rakyat makin gembira dan bersyukur dengan pengakhiran Pakatan Harapan (PH). Masalahnya Tan Sri, prestasi jemaah menteri Tan Sri jauh lebih buruk.

Tan Sri tahu atau tidak, Ustaz Ebit Liew diberi amaran untuk didenda dan dipenjara?

Semasa tempoh PKP ini, pasti rakyat punyai masa untuk menonton sidang media oleh jemaah menteri Tan Sri. Serius! Saya yakin rakyat tidak kisah waimah lima sidang media harian sekali pun.

Contohnya begini Tan Sri, arahkan Datuk Alexander Nanta Linggi membuat sidang media seminggu sekali untuk rakyat kenal menteri yang bertanggungjawab ke atas kenaikan harga barang, petrol, minyak masak, laptop, barang dapur dan segalanya.

Tetapi janganlah sidang media itu hanya berbentuk laporan. Selitkan juga harapan dan janji-janji manis seperti harga petrol akan kekal RM1.40 selama tempoh darurat. Juga harga bahan mentah barang masak akan disubsidi 70% oleh kerajaan selama PKP ini.

Selepas itu, giliran Datuk Seri Saravanan pula membuat sidang media. Tan Sri arahkan beliau supaya membuat pengumuman untuk seluruh rakyat yang kehilangan kerja akan diserapkan di dalam agensi-agensi kerajaan dengan tawaran kontrak dua tahun.

Bagi membantu contohnya membuat ujian calitan besar-besaran di seluruh negara untuk mengasingkan dan membendung penularan virus Covid-19 ini.

Dalam hampir 1 juta rakyat yang kehilangan kerja ini pasti dapat banyak membantu kerajaan untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang.

Saya yakin masalah jalan raya berlubang, lampu jalan tidak menyala, membaiki sistem tol yang menjadi punca kesesakan di lebuhraya, dan juga mengenal pasti keluarga-keluarga daif, ibu tunggal, anak yatim dan gelandangan yang perlu dibantu dan dipelihara.

Tan Sri, jangan berkira sangatlah. Malaysia ini ‘kan negara kaya menggajikan rakyat yang kehilangan kerja ini antara RM1,700 – RM5,000 sebulan pasti tidak akan menjejaskan ekonomi negara.

Oh iya! Tan Sri mesti menyiasat mengapa sampai setahun baru kementerian pendidikan dapat melancarkan sistem PdPR untuk sesi persekolahan anak-anak di rumah yang memerlukan capaian internet yang bagus juga memiliki peranti yang optimum.

Prestasi buruk Menteri Pendidikan ini telah mencalar kewibawaan Tan Sri yang telah lama berkhidmat di dalam kerajaan. Tan Sri ingat sewaktu bertemu dengan gadis Sabah masuk hutan cari internet tahun lepas?

Veveonah… Rupa-rupanya terdapat ribuan Veveonah di seluruh Malaysia. Tahun 2021 takkan Tan Sri tergamak melihat anak-anak masa depan negara belajar di dalam hutan, ladang, malah ada yang tidak mampu mengikuti PdPR ini.

Selama setahun, memang pelik apabila Menteri Pendidikan tidak ada laporan berapa tempat yang tiada capaian internet dan berapa ramai yang tidak mampu memiliki peranti.

Jikalau Tan Sri rasa terbeban, saya sarankan Tan Sri potong gaji dan elaun bulanan jemaah kabinet Tan Sri yang dilihat gagal. Terutamanya Azmin Ali, Zuraidah, Mohd Radzi Md Jidin, Fadilah Yusof, Adham Baba dan Hj Abdul Hadi Awang. (Sebenarnya ramai lagi tapi malas nak tulis, maaf Tan Sri).

Seterusnya Tan Sri, terdapat lima menteri wanita yang Tan Sri telah pilih untuk mengepalai kementerian. Salah seorangnya adalah Datuk Seri Nancy Shukri.

Namanya pun unik sudah tentu jika beliau diberi peluang membuat sidang media mingguan akan menceriakan rakyat yang menonton. Kebetulan beliau adalah menteri pelancongan dan kebudayaan.

Tan Sri, industri pelancongan kita kelihatan tenat, Tan Sri jangan mudah terpedaya dengan laporan-laporan. Berjumpalah sendiri dengan persatuan-persatuan agensi pelancongan, pengusaha dan pemilik hotel, juga taman-taman tema dan destinasi pelancongan negara. Pasti Tan Sri akan dapat laporan yang sebenar.

Tan Sri bayangkan, dengan personaliti dan perwatakan menarik Datuk Seri Nancy Shukri, tatkala nanti beliau mengumumkan misalannya sepanjang tempoh pandemik ini kerajaan akan menanggung 30% kos penginapan, penerbangan dan pakej pelancongan domestik, pasti imej kerajaan Tan Sri melonjak naik. Kaum wanita memang suka berbelanja dan melancong.

Usah risau untuk memikirkan SOP, Tan Sri minta sahaja Datuk Seri Nancy tiru apa yang telah dilakukan oleh Dubai yang berjaya melonjakkan industri pelancongan mereka sewaktu era pandemik ini.

Saya yakin gandingan Tan Sri dan Datuk Seri Nancy pasti memukau dan membahagiakan rakyat.

Kata bidalan orang-orang lama Tan Sri, alang-alang menyeluk perkasam biar sampai ke pangkal lengan. Bermaksud apabila tangan itu telah bau busuk pekasam, biar sebati bau busuk tu ke seluruh tangan, baru nikmat dan jangan malu-malu Tan Sri.

Yakinlah Tan Sri, saya menulis kali ini bukan untuk mengecam tetapi untuk membantu.

Terima kasih kerana sudi membaca, saya harapkan warkah ikhlas saya ini sampai ke pengetahuan Tan Sri.

Sekian, Yang Mengundi.