Warkah terbuka ahli AMANAH Sarawak kepada Salahuddin

Warkah terbuka ahli AMANAH Sarawak kepada Salahuddin

Ke hadapan YBM Dato’ Hj Salahuddin, semoga YBM senantiasa dalam rahmat Allah SWT hendaknya.

Pertama-pertamanya mungkin masih tidak terlambat untuk saya mengucapkan tahniah atas pelantikan YB Dato’ sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia (MOA).

Maaf kerana saya tidak berkesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada YBM semenjak YBM dilantik ke jawatan tersebut dan sehingga ke saat ini saya masih belum berkesempatan untuk bertemu dengan YBM termasuk juga kepada rakan pimpinan yang lain yang sudah bergelar menteri.

Tujuan saya menulis warkah ini adalah ingin meluahkan beberapa persoalan serta pandangan peribadi saya mengenai beberapa isu. Bagi saya, inilah medium yang terbaik untuk saya mengenengahkan beberapa isu, dari saya meluahkan melalui saluran yang boleh menjejaskan imej parti.

Pelantikan jawatan anggota AMANAH dalam Kerajaan Persekutuan mahupun GLC adalah teramat penting dalam usaha AMANAH Sarawak menghadapi PRN Sarawak yang akan datang.

Malah dengan adanya jawatan tersebut maka dengan mudah bagi mereka untuk bergerak pada masa yang sama mampu melakukan gerak kerja pilihan raya.

Dengan jawatan itu juga ia mampu mempergaruhi pengundi di Sarawak. Saya juga percaya keikhlasan adalah perkara yang mendasari perjuangan.

Namun jawatan dalam kerajaan dan sokongan kewangan sebagai penggerak parti yang mula diyakini parti dari awal penubuhan perlu diberi keutamaan agar mampu berperanan dengan berkesan demi kelangsungan parti. Saya masih ingat pesanan YBM kepada saya dahulu.

Pilihan Raya Sarawak akan berlaku tidak lama lagi, menyorot sejarah penubuhan AMANAH, masih saya ingat kamilah angkatan terawal membawa cabaran nama AMANAH dalam pilihan raya.

AMANAH ditubuhkan pada 16 september 2015 dan AMANAH Sarawak pula ditubuhkan pada 30 Januari 2016. Maka enam bulan setelah AMANAH ditubuhkan dan tiga bulan AMANAH Sarawak dibuka, PRN Sarawak diadakan pada 25 April.

Saya jugalah satu-satunya calon pilihan raya dalam dunia yang meraih undi kurang daripada undi rosak. Ia telah menjadi bahan lawak parti musuh terhadap AMANAH dan saya sendiri sehingga kini.

Ingin saya maklumkan pada YBM bahawa setakat ini AMANAH Sarawak belum ada membuat apa-apa perancangan gerak kerja pilihan raya secara menyeluruh bagi setiap kerusi Dun yang akan bertanding.

Sebab apa? Jawapannya mudah kerana tiada dana untuk memulakan gerak kerja. Kalau kita bandingkan dengan rakan-rakan kami dalam PKR Sarawak, mereka telah pun mulai turun padang secara aktif dalam misi membuka cawangan dan merekrut ahli hinggakan sampai ke Dun di mana kerusi AMANAH bertanding.

Alasan mereka adalah satu persediaan untuk mengambil alih kerusi dari AMANAH. Sementara kita pula masih berpeluk tubuh. Kenapa ini harus berlaku?

Adakah AMANAH Nasional tidak serius untuk menang sebarang kerusi di PRN Sarawak nanti seperti mana aktifnya pimpinan PKR pusat datang membantu ahli mereka di Sarawak?

Maaf untuk saya nyatakan kepada YBM, saya tidak nampak ada kesungguhan AMANAH Nasional untuk menangkan kerusi di PRN Sarawak. Saya juga dapat rasakan bahawa kami di Sarawak dilayan umpama kelas ketiga.

Sekiranya pimpinan AMANAH Nasional serius kepada AMANAH Sarawak, sudah tentu ia telah dirancang dan dana telah diperuntukan agar mampu bersaing dengan rakan kami dalam Pakatan Harapan Sarawak setelah mengambil alih Putrajaya.

Semua kita sedia maklum setelah berjaya menawan Putrajaya, di mana-mana sahaja dalam Malaysia ketika ini betapa berkembangnya ahli AMANAH.

Begitu juga dengan AMANAH Sarawak kini bagai cendawan tumbuh setelah hujan. Ramai yang menawarkan diri jadi calon dan ramai pula entah datang dari mana nak menjadi AJK dengan apa sahaja tujuan dan muslihat.

Teringat saya sebelum PRU14, kehadiran mesyuarat hanya ada lima atau enam orang dan cukup bernasib baiklah kalau mencapai enam orang kehadiran dalam mesyuarat.

Dengan kebanjiran ahli-ahli baharu ini pula timbullah bermacam-macam ragam antaranya ingin mendekati para Menteri untuk mencapai matlamat peribadi dan dengan niat yang tidak diketahui.

Kadangkala tindakan mereka mendahului pihak pimpinan AMANAH negeri. Saya khuatir dengan tindakan seperti ini akan merosakkan kepercayaan AMANAH nasional terhadap kepimpinan AMANAH negeri.

Ingin saya nyatakan dengan penuh yakin bahawa mereka yang mengelilingi YBM dari Sarawak mahu pun yang datang menziarah pejabat Menteri adalah mereka yang inginkan habuan ghanimah ketika kita ini sedang di kemuncak kemasyhuran.

Akhirnya,saya memohon maaf sekiranya tulisan saya dalam warkah menyentuh perasaan YBM. Sekiranya, cadangan dan pandangan yang saya tulis ini tidak penting maka abaikan sahaja.

Sekali lagi saya nyatakan bahawa tujuan menulis warkah ini tanpa ada dipergaruhi mana-mana pihak dan saya juga tidak punyai kepentingan atas nama-nama individu yang saya sebutkan dalam warkah saya ini.

Saya bertanggungjawab atas segala dan setiap pandangan dan komen yang saya tulis ini. Saya doakan agar YBM serta keluarga senantiasa dilindungi oleh Allah SWT dalam melakukan ibadah kerja demi rakyat dan negara.

Sekian terima kasih.

Saya yang benar,

Hud Andri Zulkarnaen

Mantan Calon AMANAH N24 DUN Beting Maro
Mantan Calon AMANAH Parlimen P207 Igan
Pengerusi Amal Relief Malaysia Sarawak