Warkah terbuka Mahathir rayu negara Teluk segera hentikan perang

Warkah terbuka Mahathir rayu negara Teluk segera hentikan perang

Dalam warkah terbukanya kepada umat Islam di Arab Saudi dan negara Teluk, juga di Yaman sama ada dari kelompok Shiah mahu pun Sunni, bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, menyeru supaya persengketaan dan perang yang dahsyat di wilayah tersebut segera dihentikan.

“Sebagai seorang Muslim, saya serta ramai lagi umat Islam, dan juga bukan Islam, di Malaysia ingin merayu kepada saudara kami agar menghentikan perang yang dahsyat ini.

“Sudah ribuan yang terkorban. Sejuta anak-anak di Yaman kebuluran. Dengan kematian dan kemusnahan ini, tiada siapa pun yang akan menang. Semua pihak kalah.

“Semoga ada belas ihsan terhadap rakyat tidak bersalah yang menjadi mangsa kepada perang ini,” katanya.

Menurut Mahathir, dunia tergamam melihat tragedi buatan manusia ini. Umat Islam merasa malu. Hentikanlah penyembelihan yang sia-sia.

Paling kurang katanya lagi, benarkanlah ubat-ubatan dan makanan dihantar kepada rakyat Yaman yang sakit dan kebuluran.

“Saya ingin merayu kepada umat Islam di seluruh dunia agar melaksanakan ajaran agama dan melakukan segala yang termampu untuk menghentikan perang ini.

“Semoga warkah ini diberi pertimbangan yang sewajarnya,” tulis Tun Mahathir.

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0
CATEGORIES