Warna air laut di Langkawi bertukar hijau, rupanya ini sebenarnya yang berlaku

Oleh KIM SYAZIE

Gambar yang memaparkan perubahan warna air laut di Teluk Yu, Langkawi telah mengejutkan orang ramai baru-baru ini.

Berwarna hijau berlumut, kekeruhan warna air laut itu telah menimbulkan pelbagai spekulasi di kalangan penduduk sekitar.

Tidak ingin maklumat palsu terus tersebar, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) tampil memberikan penjelasan.

Menurut DOF, penyelidik telah menjalankan persampelan air untuk pengecaman dan kuantifikasi plankton serta pemeriksaan kualiti air.

Hasil siasatan mendapati perubahan ketara warna air laut di beberapa lokasi seperti Teluk Yu, Teluk Ewa dan Tanjung Rhu adalah normal.

“Mendapan berwarna kehijauan di dasar beberapa lokasi yang mungkin merupakan biomass mikroalga yang telah terurai.

“Analisis plankton mendapati komposisi plankton dalam sampel air laut yang diambil adalah normal,” katanya.

Pasukan dari Pusat Penyelidikan Langkawi itu diketuai oleh Syed Mohamad Azim bin Syed Mahiyuddin.

Pengesahan analisis sampel air laut pula dilakukan oleh pakar mikroalga Institut Penyelidikan Perikanan, Roziawati Mohd Razali.

Baca juga: Setelah 960 kali mencuba, akhirnya warga emas berjaya dapatkan lesen memandu