Malaysia Dateline

Warna-warni peristiwa negara sepanjang 2017

Warna warni pengkisahan peristiwa sepanjang tahun 2017 dirakamkan setiap detik. Sebahagian peristiwa akan terpahat diingatan rakyat dan dilakarkan sebagai satu memoir sebuah negara tercinta seperti Malaysia.

Ambang 2018 akan muncul beberapa jam lagi, tahun 2017 hampir mengakhiri detik masanya tepat tengah malam ini  31 Disember 2017.

Kita boleh bersama mengimbas kembali beberapa detik peristiwa  suka dan duka yang telah dirakam sepanjang tahun 2017 di Malaysia.

SUKAN

Dalam bidang sukan Malaysia  menjadi tuan rumah pada Temasya Sukan SEA ke-29 amat membanggakan rakyat  apabila Kontinjen negara berjumlah 844 atlet yang menyertai 398 acara membabitkan 38 jenis sukan mengumpul 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa, mengatasi sasaran 111 pingat emas.

Sejumlah 11 negara mengambil bahagian dalam Sukan SEA ini.

Negara Filipina diumumkan akan menjadi tuan rumah temasya dwi tahunan itu pada 2019 dan obor temasya dipadamkan selepas 12 hari dinyalakan sejak majlis perasmian, 19 Ogos.

Berita gembira menyusul apabila Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak turut mengumumkan 4 September sebagai cuti umum di negara ini kerana kemenangan itu.

Ini adalah kali keenam Malaysia menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar rantau Asia Tenggara itu, selepas 1965, 1971, 1977, 1989 dan 2001.

Tidak akan dilupakan bagi peminat bola sepak apabila pemain tengah atau striker Pulau Pinang Mond Faiz Subri berjaya menduduki tempat pertama jaringan gol terbaik dalam Anugerah Puskad FIFA 2016 di Zurich, Switzerland pada 9 Januari lalu.

FIFA menerusi lama web rasminya, www.fifa.com mengumumkan tiga gol terbaik ke peringkat akhir untuk Anugerah Puskas FIFA 2016.

Selain gol ajaib Mohd Faiz, turut tersenarai dalam senarai akhir untuk anugerah berkenaan ialah jaringan pemain kelab Corinthians, Brazil, Johnath Marlone Azevedo da Silva dan wakil tunggal wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela.

Negara juga turut berbangga apabila Raja Keirin negara Mohd Azizulhasni Awang meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik Rio pada Ogos lalu yang juga pingat pertama negara.

Tidak ketinggalan untuk diingati bagi atlet terjun negara Cheong Jun Hoong menjadi atlet pertama negara bergelar juara dunia apabila memenangi pingat emas dalam acara terjun platform 10 meter di Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest.

INSTITUSI DIRAJA

Selain bidang sukan institusi DiRaja juga menjadi tumpuan rakyat tahun ini kerana terpahat dalam sejarah Pertabalan Yang Dipertuan Agung ke 15, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada 23 April lalu,dalam satu majlis istiadat yang penuh gilang gemilang.

Sultan Muhammad V ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, untuk memerintah Malaysia bagi tempoh lima tahun.

Seterusnya, keterujaan seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat negeri Johor mengenai pernikahan anakanda Sultan Johor, Tunku Puteri Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim, dengan jejaka warganegara Belanda, Dennis Muhammad Abdullah, turut mencuri tumpuan rakyat.

Perkahwinan Diraja yang berlangsung pada 18 Ogos lalu diraikan dengan penuh tradisi dan adat istiadat budaya Johor.

HIBURAN

Dunia hiburan tanahair juga mencipta peristiwa tersendiri apabila insiden pelakon veteran Sulaiman Yassin atau ‘Mat Over’ menampar Pengarah Urusan Metrowealth International Group Datuk David Teo.

Insiden berlaku ketika mereka hadir dalam pertemuan antara golongan seniman dengan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam program Transformasi Nasional 2050 (TN50). Insiden Mat Over manampar David Teoh dipercayai kerana bersikap ‘kurang ajar’ di hadapan Perdana Menteri.

Kejadian berlaku ketika beliau cuba bertanyakan soalan pada sesi program Dialog TN50 Bersama Perdana Menteri: Segmen Penggiat Seni (Budayawan), di Dewan Bankuet, Seri Perdana.

David dilihat bertegas mahu bertanya kepada moderator dialog iaitu pelakon Datuk Rosyam Nor namun tidak diendahkan. Ketika itulah kelibat Mat Over kelihatan dari belakang pentas menuju ke arah David lalu menamparnya.

Selepas insiden tersebut mereka berdamai dan memohon maaf diatas insiden berlaku kepada perdana menteri.

Daripada insiden yang mengejutkan ramai pihak itu, kita beralih kepada berita gembira dalam dunia seni apabila pelakon dan pengacara Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor tersenarai di dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2017.

Neelofa antara 300 individu yang tersenarai dimana ia menampilkan usahawan, penginovasi muda dan mereka yang telah berjaya sehingga terkenal di dunia. Bahkan Neelofa juga telah dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif bagi syarikat penerbangan Air Asia Bhd pada 8 Disember lalu.

POLITIK

Pasti ramai tidak lupa insiden baling kerusi dalam Forum Nothing to Hide 2.0 anjuran Armada Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada 13 Ogos lalu bertukar kecoh ketika Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, menjawab soalan berhubung tragedi Memali yang berlaku pada 1985.

Forum terpaksa dihentikan separuh acara kerana kejadian membaling kerusi, botol air mineral, kasut dan selipar dilemparkan ke arah Dr Mahathir.

Forum yang diadakan di Kompleks Belia dan Kebudayaan, Seksyen 7 yang bermula pada jam 4.15 petang itu, awalnya berlangsung dengan aman hampir sejam sebelum bertukar ganas.

Pada 5 November lalu berlaku banjir kilat di Pulau Pinang telah melumpuhkan negeri itu. Banyak kawasan dan jalan utama di negeri itu diliputi banjir. Antara kawasan yang dilaporkan terjejas adalah Jalan P Ramlee, Lebuh Carnavon, Lebuh Muntri, Lorong Kinta, Jalan Anson, Lebuh Kimverly, Lebuh McNair dan beberapa kawasan di Seberang Perai.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang terpaksa memohon bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu pasukan penyelamat sedia ada yang kini sedang bertungkus lumus menyelamatkan mangsa banjir di Pulau Pinang.

Dalam nada sedih, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta semua penduduk di negeri itu khususnya yang terjejas banjir agar terus bersabar sementara Kerajaan Negeri akan berusaha untuk menyampaikan bantuan secepat mungkin.

Dalam hubungan politik antarabangsa, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak buat pertama kali dalam pemerintahan 10 tahun mengadakan lawatan kerja ke ‘rumah putih’ bertemu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 12 September lalu.

Selain itu Malaysia juga berbesar hati menerima kedatangan Putera Wales, Putera Charles dan isteri Duchess Cornwall, Camilla, yang tiba pada 2 November bagi lawatan rasmi bersempena ulang tahun ke-60 hubungan dua hala antara Malaysia dan United Kingdom (UK).

Pasangan diraja itu melawat pelbagai tempat di Kuala Lumpur, Perak, Sarawak dan Pulau Pinang selain menyertai pelbagai acara penting sepanjang lawatan selama 7 hari dari 2 November hingga 8 November.

MISI KEMANUSIAAN

Pada 3 Februari lalu Umno dan Pas bersatu untuk melaksanakan misi bantuan kemanusiaan ke Myanmar menerusi ” Food Flotilla for Myanmar.’

Misi pelayaran Flotilla akan bertolak dari Pelabuhan Klang selepas solat Jumaat bagi membantu kira-kira 70,000 orang di Teknaf, Bangladesh dan hampir 150,000 orang di Sittwe, Myanmar.

Lebih 240 delegasi yang mewakili 40 badan bukan kerajaan (NGO) dari dalam dan luar negara akan turut serta dalam kerja mengedar bantuan, merawat, mendirikan khemah, memasak dan melihat keperluan kanak-kanak dan wanita di kem pelarian Rohingya.

Menggunakan Kapal Nautical Aliya, misi itu membawa 1,500 tan bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada masyarakat yang terjejas di Rakhine, barat Myanmar.

Selain itu Malaysia turut menunjukkan soladariti terhadap nasib yang menimpa rakyat Palestin apabila NGO Islam, kerajaan dan parti-parti politik pembangkang bersama menganjurkan himpunan rakyat memprotes tindakan Amerika Syarikat untuk mengubah kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis sebagaimana diumumkan Presiden AS Donal Trump pada 6 Disember lalu.

Sebanyak dua perhimpunan sama diadakan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat selepas solat Jumaat pada 8 Disember oleh NGO Islam dan terakhir diadakan oleh Pakatan Harapan pada 15 Disember di akhiri pada satu perhimpunan yang dianjurkan Umno dan Pas di Masjid Putra, Putrajaya pada 22 Disember lalu.

JENAYAH

Negara juga tidak lari daripada menjadi mangsa ‘keldai dadah’. Masih segar diingatan mengenai mangsa sindiket dadah antarabangsa, Shyzlin Hathaman, wanita dari Johor yang meninggal dunia di Lima, Peru pada 7 Oktober lalu.

Jenazah disembahyangkan di bangunan Persatuan Islam Peru atau Association Islamica Del Peru di Magdalena, Lima dan dibawa pulang ke tanahair pada 16 Oktober oleh Pengerusi Biro Kebajikan Umno (BiKOM), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasara.

Pihak kedutaan memaklumkan bahawa Shyzlin meninggal dunia pada jam 6.50 petang waktu Peru pada 7 Oktober 2017, iaitu jam 7.50 pagi tadi waktu Malaysia.

BH pada November tahun lalu menyiarkan laporan eksklusif dari Peru, mengenai rayuan Syzlin dan dua lagi rakyat Malaysia, Nor Suzanna Azmi dan seorang wanita bernama Azimah, yang merayu ihsan orang ramai membantu membawa mereka pulang.Dia yang dipenjara dan terkandas di negara itu sejak lapan tahun lalu, berasal dari Pontian, Johor.

Peristiwa menyayat hati seluruh rakyat negara ini apabila tragedi malang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung Kuala Lumpur pada 14 September lalu.

Lebih 20 pelajar dan tenaga pengajar dilaporkan maut dalam kebakaran d yang berlaku pada 5.30 pagi, manakala tiga pelajar berada dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Polis mengesahkan kebakaran yang meragut 23 pelajar dan guru di itu berpunca daripada ejek-mengejek antara pelajar sekolah tahfiz itu dengan sekumpulan remaja.

Susulan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berjaya menahan 7 suspek lelaki berusia 11 hingga 18 tahun yang didapati positif dadah jenis ganja dan dipercayai khayal ketika memulakan kebakaran itu, manakala 2 daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau.

Tidak cukup dengan kematian 20 pelajar tahfiz, rakyat negara ini juga terkejut dengan berita kematian seorang pelajar tahfiz, Thaqif Mohd Amin, yang didakwa akibat didera oleh warden asrama. Namun, siasatan lanjut mengesahkan kematian Allahyarham adalah berpunca akibat kencing tikus.

Selain itu kematian penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain yang dipercayai akibat didera rakan turut mencuri tumpuan seluruh rakyat Malaysia.

Mangsa cedera parah dengan 80 peratus kesan melecur tahap dua dan tiga di hampir keseluruhan depan dan belakang badan. Pegawai kadet laut tahun tiga itu dipercayai memiliki kesan melecur akibat ditekap dengan seterika wap di bahagian dada, tangan dan kakinya.

Belum reda lagi kes Zulfarhan, kemarahan orang ramai sekali lagi memuncak apabila T Nhaveen, 18, yang mati otak selepas dipukul dan diliwat dengan ganas, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang. T. Nhaveen disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan serius akibat diserang sekumpulan lelaki di Jalan Kaki Bukit di Bukit Gelugur, Pulau Pinang.

Selain kejadian jenayah domestik tidak dilupakan juga mengenai kematian seorang lelaki Korea Utara Kim Jong Nam di KLIA.

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika itu mengesahkan lelaki warga Korea Utara yang meninggal dunia adalah Kim Jong-nam dengan nama dalam pengenalannya adalah Kim Chol.

Pihak polis telah berjaya menahan seorang wanita warga asing di Klia2, menggunakan dokumen perjalanan Republik Sosialis Vietnam dengan nama Doan Thi Huong manakala suspek kedua bernama Siti Aishah dan dilahirkan di Serang, Indonesia. Susulan penahanan Siti Aishah, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun, dipercayai teman lelaki suspek kedua turut ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam.

Siasatan kes kematian Jong-nam giat dijalankan dengan suspek keempat dikenal pasti sebagai Ri Jong Chol yang juga warganegara Korea Utara ditahan dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Jalan Kuchai Lama kira-kira jam 9.50 malam.

Susulan ketegangan hubungan Malaysia-Korea Utara berikutan kes pembunuhan Kim Jong-nam, kerajaan mengambil keputusan untuk mengakhiri perjalanan visa percuma bagi Korea Utara atas faktor keselamatan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua warga Korea Utara yang ingin memasuki Malaysia dikenakan visa berkuat kuasa 6 Mac. Beliau berkata, ia dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan negara sebagai keutamaan.

Korea Utara juga memerintahkan Duta Besar Malaysia ke Korea Utara, Mohamad Nizan Mohamad meninggalkan negara itu dalam tempoh 48 jam dan dilabel sebagai ‘persona non grata’.