Malaysia Dateline

Warna-warni politik Malaysia jika muafakat baru Umno-PH (DAP)

Semua opsyen yang ada bukan bersifat ideal. Sememangnya tiada pilihan yang sempurna susulan runtuhnya kerajaan mandat rakyat, hujung Februari lalu. Segalanya berlegar permainan kuasa elit politik bersumberkan modal sokongan pengundi dalam PRU14 lalu.

Garis pemisah menjadi kabur dan samar. Tidak seperti pasca PRU14, ada pembahagi jelas di antara Pakatan Harapan dengan BN-Pas. Apabila Bersatu bersama Azmin Ali dan penyokongnya dalam PKR khianat, apa juga opsyen untuk martabatkan kembali mandat rakyat tidak lagi ideal.

Untuk mencapai “cukup bilang” merealisasikan perubahan, sifir politik hanya dengan angkubah sedia ada. Muafakat atau persefahaman harus dijalin dengan Ahli-ahli Parlimen atau Adun yang terpilih pada Mei 2018; pastinya bersama wakil rakyat di luar Pakatan Harapan.

Tiada lagi perjanjian bersama atau perkongsian atas prinsip-prinsip asas, seperti termeterai dalam PH. Banyak isu yang terpaksa dikompromi, asalkan ada kepentingan bersama yang dipersetujui. Sekurang-kurangnya bagi berdepan musuh politik yang satu, dalam tempoh tertentu yang kritikal.

Usul percaya kepada menteri besar di sidang Dun Perak baru-baru ini menyaksikan insiden menarik, yang sebenarnya sudah diduga. Ahmad Faizal Azumu kehilangan sokongan majoriti lebih awal sejurus kerajaan negeri PH ditumbangkan. Umno yang mempunyai bilangan Adun teramai terpaksa memendam hasrat mengisi posisi strategik itu. Tuah Peja tidak berulang. Sekutunya dalam Perikatan Nasional berbeda dengan PH. Selepas PRU14, hanya berbekalkan kerusi Dun tunggal miliknya sendiri, beliau diangkat PH menjadi menteri besar.

Umno secara solo tidak dapat membentuk kerajaan di Perak. Dengan Pas dan Bersatu memilih untuk berada di luar atas alasan “menolak” aksi pengkhianatan terbuka Umno, apakah kita bakal menyaksikan model kerajaan perpaduan PH-Umno? Ataupun Pas perlahan-lahan membuat “pusingan-U” dan wakil Bersatu menerima pujukan real politik?

Kelihatan PH seolah-olah lebih terbuka mencari penyelesaian. Perak tidak sunyi daripada rentetan konflik dan mungkin menjadi tapak eksperimen terbaru. DAP pun seperti berubah rentak dan nada; bersikap lapang dada untuk bekerjasama, hatta dengan Umno? Sekurang-kurangnya ada tiga tokoh nasional Umno di negeri ini yang menjadi tumpuan, iaitu Ahmad Zahid Hamidi, Tajuddin Abdul Rahman dan Nazri Aziz. Masing-masing dilihat tidak begitu serasi dengan Bersatu.

Bersatu mungkin lebih padan dengan PH jika tidak disebabkan episod pengkhianatan sembilan bulan lalu. Pembelotan itu terlalu pedih untuk diterima. Kerajaan reformasi runtuh sekelip mata. Proses pembaharuan pentadbiran negara terhenti serta-merta. Meskipun Umno di posisi lebih bawah daripada Bersatu dalam kerajaan tebuk atap itu tetapi warisan BN kembali bertakhta; mungkin dimudahkan oleh faktor daulah terpendam.

Saya berulang kali menekankan agar pembangkang perlu mengutamakan kesatuan “grand coalition” dan berhati-hati dengan mainan Umno. Saya masih berpegang dengan prioriti itu meskipun pelbagai opsyen baru muncul. Ya, semua pilihan bukan lagi ideal. Ia lebih kepada “memilih mudarat lebih kecil” dalam kerangka besar melebarkan pengaruh dan sokongan menjelang PRU15. Aneka opsyen ini terpaksa disaring kerana pandemik Covid-19 yang membataskan banyak perkara, termasuk proses pilihan raya. Wabak maut itu juga menuntut sikap terbuka mendahulukan kepentingan rakyat dan negara.

Persaingan kuasa yang berlebihan harus diredakan. Begitu banyak sumber dibazirkan demi menjayakan perancangan dan komplot sulit. Apakah anda rasa Langkah Sheraton itu berlaku secara spontan? Masa, wang dan prioriti, sekurang-kurangnya tiga pemimpin PH ketika itu — Muhyiddin Yassin, Azmjn Ali dan Hamzah Zainuddin — terbazir begitu sahaja. Sebahagian mereka adalah anggota kanan Jemaah Menteri, yang sepatutnya membantu rapat perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad ketika itu, tetapi disibukkan dengan konspirasi merebut kuasa.

Dengan majoriti terlalu tipis di Parlimen, kumpulan Muhyiddin-Azmin-Hamzah berterusan mengolah sokongan bagi memastikan takhta tidak digoncang. Krisis kesihatan-ekonomi bertambah parah di bawah Kabinet pintu belakang ini. Bayang-bayang sendiri pun dirasakan hantu yang mahu nencekik leher. Sekali khianat, selamanya tidak rasa selamat!

Justeru, sebarang opsyen untuk menamatkan konflik berpanjangan yang merugikan negara ini wajar diusahakan segera. Sekurang-kurangnya untuk tempoh sehingga Parlimen dibubarkan. Tunjukkan norma baharu di zaman Covid-19 ini mampu menyuntik amalan berpolitik yang sihat dan produktif. Tinggalkan kelaziman lalu yang merugikan — “berperang” setiap masa hinggakan politik itu seumpama candu.

Disebabkan “game” ini adalah permainan kelompok elit politik, kita doakan agar mereka sentiasa dipandu kewarasan, hidayah dan petunjuk Ilahi. Susah dipercayai kejujuran kumpulan politikus ini tetapi berilah sedikit kepercayaan untuk mereka membuktikan kepentingan negara masih tersemat dalam sanubari. Namun rakyat bukanlah menyerahkan cek kosong, kita ikuti rapat-dekat sebarang perkembangan. Soalnya, apakah yang kita mampu lakukan jika rakyat sekali lagi dikhianati?

Secara personal, saya teruja untuk mengetahui perkembangan seterusnya jika benar berlaku persefahaman di antara Umno dan PH; tentunya bersama DAP ‘kan? Dan di mana pula kedudukan Pas? Semakin berwarna-warnilah ragam politik tanahairku!