Kenangan setahun lalu: Revolusi elektoral yang tidak mungkin pudar

Kenangan setahun lalu: Revolusi elektoral yang tidak mungkin pudar

Saya suka dengan angka. Masa sekolah dulu, subjek Matematik, terutama Matematik Tambahan menarik perhatian. Ada kepuasan tersendiri jika dapat menjawab. Jadi, apabila berbicara tentang pilihan raya dan mahu menyusun buku tentang PRU14 yang bersejarah itu, saya amat terkilan kerana tidak mampu menganalisis keputusan penuhnya dan menikmati angka-angka di sebaliknya.

Daya tumpuan dan kualiti penglihatan membataskannya. Sukar saya meneliti keputusan terperinci, apatah lagi membandingkannya dengan prestasi PRU13 lima tahun sebelumnya. Komposisi kaum pada setiap kerusi juga memerlukan penelitian rapi. Kompleksiti politik Malaysia amat berkait rapat dengan pecahan ras.

Akhirnya saya memilih pendekatan lebih santai. Merakam rasa dan ingatan, kilasan minda, pemerhatian terbatas, dan imaginasi yang semakin terhad. Semasa aktif, sihat dan cergas dulu, saya suka mencatat berdasarkan penemuan saksi mata di lapangan. Itulah yang saya kongsi dalam kolum Catatan Hujung, yang dimulakan dalam majalah Dunia Islam, pada helaian terakhirnya. Catatan Hujung terilham daripada ruangan tetap Goenawan Mohamad, majalah Tempo, Catatan Pinggir. Saya juga terpengaruh dengan gaya tulisan Karim Raslan, menerusi Ceritalah Asean, yang mengumpulkan cerita menarik daripada khalayak di jalanan.

Saya kira kaedah itu lebih dekat dengan realiti dan orang awam. Banyak keluhan, rungutan, pandangan dan idea masyarakat biasa jarang terungkap, apatah lagi didengar. Kita kerap disogok dengan luahan dan “muntahan” orang berkuasa walaupun kadang-kadang bertaraf sampah. Apatah lagi dalam rejim usang tapi autokratik, yang menyekat promosi sudut pandang berbeda. Masyarakat intelektual juga diserkup ketakutan budaya ampu yang melampau. Kadang-kadang kita jadi bingung, entah apa sangat yang ditakutkan, dan entah apa sangat yang dikejar, sehingga maruah dan kehormatan tergadai dengan murah sekali.

Semasa menapak perlahan, bertongkat selepas diserang angin ahmar, 2010, untuk cuba memahami mood perubahan di akar umbi pasca tsunami politik 2008, saya merasai ia bagaikan terapi penyembuhan yang menyenangkan. Bertemu khalayak yang pelbagai, mendengar cerita mereka di warung dan majlis kenduri, merasai derita pesakit kronik semasa bersesak di hospital awam, hinggalah berkongsi kisah suka-duka pesawah di kampung kelahiran, juga ratap-tangis keluarga tahanan tanpa bicara di Sandakan. Ia membentangkan spektrum kehidupan yang berwarna-warni walaupun rona gelapnya lebih menyerlah.

Saya bukanlah jenis orang yang peramah, malah pendiam dan tidak pandai bersembang seperti kebanyakan orang Kedah. Lama juga saya dilanda masalah “gagap”, membuatkan saya lebih selesa untuk mendengar atau hanya menyambut dengan gelak-tawa. Mencelah pun tak pandai dan terasa canggung. Saya terpaksa berminat dengan penulisan didorong untuk menggantikan bicara lisan yang terbatas. Hinggakan, semasa bertanding pimpinan pelajar di UTM sekitar awal 1980-an, saya berkempen menggunakan medium tulisan, bukannya di sudut pidato seperti calon lain. Artikel yang tersiar di majalah dan akhbar mingguan, saya fotokopi dan edar kepada mahasiswa.

Menjelang PRU14, tahap kesihatan makin merosot. Sebenarnya hampir empat tahun sebelum itu, saya sudah kerap terlantar membilang siling. Saya tidak lagi mengetuai editorial Harakah,

seperti PRU 2008 dan PRU 2013, malah tidak lagi bersama Pas, dan bertaraf pesara ilat Perkeso. Sesekali saya menbantu rakan-rakan yang mengusahakan Mingguan Amanah, organ Parti Amanah Negara dan portal berita malaysiadateline.com.

Di peringkat awal, melalui pelawaan Zulkifli Sulong, saya hadir mesyuarat mingguan sidang editor akhbar berkenaan. Taufek Yahaya, pengarangnya, mengambil saya pergi dan balik, dari Bukit Ampang ke pejabat, di Kota Damansara. Zul dan Taufek merupakan bekas ketua pengarang Harakah. Tidak banyak yang boleh saya sumbangkan walaupun diberi peranan penasihat. Saya memaksa diri hadir mesyuarat hanya untuk berkongsi cerita dan perkembangan semasa. Selalu mempengerusikan mesyuarat, Khalid Samad, Pengarah Komunikasi dengan anggota tetapnya, Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Strategik dan kadangkala Anuar Tahir, Setiausaha Agung. Dapat juga saya memperolehi informasi dari sumber rasmi. Kalau tidak, saya hanya tertakluk kepada media sosial dan pergaulan yang cukup terhad untuk mengolah idea. Sebenarnya Mingguan Amanah dan Malaysiadateline beroperasi dalam skala yang cukup kecil tetapi masih berfungsi dengan baik, terutama untuk memperkenal parti Islam yang baharu, AMANAH.

Alhamdulillah, saya – dari jarak yang tidak begitu jauh walaupun bukan juga dekat – berpeluang mengikuti episod awal pembentukan Pakatan Harapan, babak-babak penting penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, polemik faktor Dr Mahathir Mohamad dalam barisan pembangkang, konflik AMANAH memposisikan diri terutama berdepan dengan Pas. Bertuah sekali melihat percambahan idea yang sihat dan segar, terutama bila mendengar perdebatan di antara Dr Dzul dan Khalid yang serius tetapi mesra. Sebagai penyokong AMANAH, saya kira parti setahun jagung itu banyak mendapat manfaat hasil “silap langkah” Pas, yang bersikap keras dan menutup pintu bukan hanya kepada DAP, tetapi juga terhadap Mahathir, Bersatu dan PKR. Kami bimbang juga jika strategis Pas mengambil langkah bijaksana sehingga dapat memencilkan AMANAH daripada kelompok utama pembangkang. Malah, apabila Pas nampak cenderung dan bersikap pro-Umno serta tidak dapat menyembunyikan sentimen anti-Mahathir, saya merasakan halangan utama AMANAH sudah dapat diatasi!

Kelaziman yang mengakar dalam jiwa kewartawanan saya, iaitu turun menghayati gelodak rasa rakyat, bagi merasai keluh-kesah dan tekad-impian mereka, tidak lagi dapat disempurnakan. Rutin dialisis dan letih-lesu selepas proses cuci-darah selama empat jam tiga kali seminggu tidak memungkinkan saya berkelana.

Boleh saja saya mengikuti perkembangan secara langsung, khususnya rapat umum membabitkan Mahathir dan Mat Sabu melalui FB Live atau liputan berita internet, tetapi ia tidak mampu memuaskan naluri kepengarangan saya. Kita tidak berpeluang mencium aromanya, menatap wajah audien, berselisih bahu dengan pengunjung, mendengar komen selari penonton sambil penceramah berpidato di depan. Teringin juga melihat dari dekat sosok negarawan berusia 92 tahun, bagaimana sasa dia berjalan bersalam dengan ribuan hadirin, urat-urat tegang di mukanya; juga peneman setia hingga ke awal pagi, Dr Siti Hasmah Ali. Ya, saya tidak berpotensi menyusun naratif indah itu, bagi melukiskan colour story membantu pembaca untuk turut sama berada di tengah kancah.

Biarpun tersekat dengan beberapa halangan itu, hasrat mahu menyusun buku tentang PRU14 ini tidak boleh dibiarkan mati. Walaupun ia bukan bersifat analisis mendalam, dengan kajian terperinci seperti dilakukan para pengkaji dan tenaga akademik yang meneliti pola pengundian dalam bingkai teori tertentu, buku ini cuba merakam “gerak gempa” 9 Mei 2018 itu sebaiknya.

Tidaklah sampai ke tahap “satu keajaiban” telah tercipta, namun insiden luar biasa kebangkitan-keberanian rakyat Malaysia ini saya rakamkan menurut stail, atau lebih tepat, kemampuan saya. Seperti tiga buku sebelum ini – Lorong Sunyi Media Bebas; Parti Amanah Negara: Cabaran, Halangan dan Potensi Parti Islam Berintegriti, Berpengaruh; Mengapa Mahathir? – saya susun menurut kaedah seorang editor menerajui akhbar atau majalah. Ada sesi wawancara yang saya kendalikan bersama tokoh tertentu, segmen penulis undangan, makalah terpilih yang pernah diterbitkan, terjemahan artikel menarik dalam dan luar negara, dan tentu sekali komentar saya sendiri.

Tidak lengkap sekiranya saya tidak menukilkan ragam tertentu khalayak dan teman-teman yang saya temui sebelum dan selepas PRU14, sekurang-kurangnya bagi menggambarkan kerencaman situasi berdepan peristiwa besar itu. Memang tidak boleh mewakili keseluruhan adegan bersejarah tumbangnya kleptokrat bertaraf global kerana berdasarkan pengalaman terpilih-terhad, namun diharapkan ia dapat menceriakan proses pembacaan ini. Benar, saya berhasrat agar kita enjoy meraikan kejayaan melakar sejarah sebelum “terbeban” dengan agenda mengisi kemenangan yang rumit.

Mahathir pada malam keputusan PRU14 kecewa SPR belum mengumumkan keputusan PRU14.

I

Sekitar hujung tahun 2016. Saya menghabiskan cuti sakit yang panjang sebelum berhenti daripada Harakah. Lebih sepuluh tahun saya berkhidmat sebagai ketua pengarang untuk kali kedua, sebelum diminta berhenti.

Pagi itu, saya mahu membereskan urusan pemulangan kereta pejabat, Proton Waja. Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakob bersetuju memberi kelonggaran agar saya terus menggunakan kereta walaupun sedang bercuti.

Agakan saya, masih ada saman tertunggak berkaitan kesalahan parkir yang belum dijelaskan. Waktu itu saya masih mampu memandu sendiri dalam jarak dekat walaupun mata sudah mulai kabur dan tenaga mudah penat untuk menapak. Justeru, tiga atau empat kali juga saya meletakkan kereta berdekatan pejabat, bukan di kawasan yang dibenarkan dan disaman.

Pejabat penguatkuasa DBKL dekat sahaja dengan Harakah. Kalau berjalan kaki, tidak sampai lima minit. Saya berhasrat mohon diskaun atas alasan uzur. Rupanya kadar kompaun memang mendapat potongan khas ketika itu. Kadar paling minimum. Jadi, tak perlulah tunjuk “muka kasihan”.

Melihat paparan nama saya selepas dicetak butiran saman, pegawai bertugas tersenyum, sambil berjabat salam kali kedua. Kali ini lebih lama dan erat genggamannya.

“Pengarang Harakah, ya? Saya selalu baca kolum tuan,” sapanya mesra. “Tapi dah lama tak nampak menulis,” sambungnya, ramah. Saya menjelaskan, ringkas. Dia kelihatan simpati, sambil bertanya senario politik semasa, berkaitan sikap dan pendirian Pas.

Ini bukan kali pertama saya mendengar kebingungan orang awam tentang apa yang disifatkan kecelaruan Pas berdepan kemungkaran kerajaan. Skandal 1MDB sedang membengkak. Imej Najib Razak mulai hodoh, walaupun belum berbau busuk.

“Kenapa Pas mahu berbaik-baik pula dengan Umno waktu-waktu begini? Patutnya semua pembangkang bersatu, bukan senang kita nak dapat isu sebaik ini.

“Saya bukan orang politik, tuan. Tapi saya peliklah dengan Pas. Kawan-kawan saya pun hairan. Anak saya yang baru daftar sebagai pengundi juga bagi tau, dia tak faham mengapa Pas macam tidak bersungguh saja nak lawan Najib,” ceritanya lagi. Ketika itu, tiada pelanggan lain, kecuali saya dan seorang kawan peneman. Lagi rancaklah dia bergebang panjang. Saya biarkan dia meluahkan hati, sesekali menambah perisa.

“Tak semua pimpinan Pas macam itu,” saya cuba berlaku adil. “Tapi Tok Guru Haji Hadi macam mesra aja dengan Najib,” tingkahnya. Saya menyambut dengan gelak kecil.

 

II

Dia sahabat karib saya. Asal dari Alor Setar. Sama-sama belajar di UTM tapi kursus berbeda. Selalu menemani, termasuk semasa keluarga saya masuk meminang, 27 tahun lalu.

Jarang mengecewakan. Sering menawarkan bantuan ketika diperlukan. Apabila saya uzur, khususnya selepas pembedahan pintasan jantung tahun 2010, dia umpama penguat kaki kiri saya yang hampir lumpuh itu. Membawa saya ke segenap pelosok tanah air, mengambil cuti tahunan memudahkan saya mencari berita, merasai degup jantung masyarakat di bawah.

Semasa saya sihat-bugar dulu, kerap juga kami membasahkan badan berpeluh bermain badminton. Kesukaan kami sama, mencari restoran yang sedap-sedap. Diet tolak tepi!

Dia bukan pencandu politik seperti saya. Juga tidak ghairah dengan buku. Tapi bersedia mengiringi saya ke program politik dan toko buku.

Mungkin kurang membantu dari segi idea tetapi kehadirannya menyenangkan sekali. Bebas bercerita dan berkhayal serta berimaginasi tentang Malaysia yang diidamkan. Ia juga mengingatkan saya tentang sosok istimewa rakan wartawan yang sudah meninggal dunia lapan tahun lalu, Almarhum Samsuri Roslan. Kedua-dua mereka, sahabat yang cukup mendamaikan. Wah, indahnya erti persahabatan.

Saya kerap bertanya kepada sahabat karib ini, bagaimana reaksi orang biasa tentang pergolakan semasa. Tentunya dia bukan kayu ukur, namun boleh membuka sedikit pencerahan. Ada orang tidak gemar membaca buku, tetapi suka membaca gelagat dan memerhati alam.

Sejurus Mahathir mengisytihar perlawanan terbuka terhadap Najib, ramai terpinga-pinga. Pembangkang tegar seperti saya juga begitu. Selama berdekad lamanya kita bertinju dengan Mahathir, kini terpaksa bersekutu pula.

“Politik ada seninya tapi mesti kekal berprinsip. Tidak boleh terlalu lama merenung bila orang lain pantas menerjah,” kata seorang rakan baharu, yang diperkenalkan oleh sahabat karib saya itu. Kami berbicara tentang faktor Mahathir yang mula jelajah mempromosi Deklarasi Rakyat mahu menarik turun Najib.

“Fokus utama, jatuhkan Najib. Itu faktor pemersatu. Semua orang bersetuju PM keenam ini boleh melingkupkan negara. Sebab itu bila Mahathir kata Najib pencuri, penyangak, penyamun, orang boleh terima. Dalam gelak orang bertepuk, bersetuju dengan Mahathir,” tambah sahabat saya.

Bagaimanapun, dia agak cuak meneka reaksi teman-teman yang pernah bersama Pas: “Ramai kawan rapat aku tak boleh terima kalau Mahathir nak jadi PM semula. Dia bawa banyak kerosakan pada struktur bernegara kita. Untuk jadi kepala keretapi jatuhkan Najib, okey, tapi jangan pula nak ganti. Aku rasa, Mahathir pun tak mahu lagi jadi PM, tak larat, 92 tahun dah lanjut sangat tu.”

“Habis siapa PM ke-7?” pintas saya. “Anwar masih di penjara, pemimpin PKR lain junior belaka. AMANAH lagilah takda pengalaman.” Sahabat saya spontan menjawab, “Muhyiddinlah, bekas TPM dan MB, lama jadi menteri.”

“Benar, Muhyiddin ada rekod kerja yang bagus,” ujar saya, “tapi auranya kurang menyerlah, untuk dapat sokongan ramai, kita mesti umum awal calon PM ganti Najib.”

“Soalnya, bolehkah orang terima Mahathir, termasuk penyokong Anwar dan otai reformasi?” soalnya.

Saya segera terlintas perbualan dengan kartunis brilian, Zunar, yang diakui lama rapat dengan Anwar.

“Selama ini Anwar terhalang jadi PM sebab faktor Mahathir,” kata Zunar ketika singgah di rumah saya.

“Bila Mahathir dah berbaik-baik dengan Anwar, peluang terbuka semula untuk Anwar. Aku rasa Anwar boleh bergabung kekuatan dengan Mahathir untuk bentuk kerajaan.”

Zunar respons kepada pertanyaan saya ekoran kehadiran Mahathir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 5 September 2016, untuk berjumpa pertama kali dengan Anwar selepas 18 tahun.

Selepas dua bulan menang PRU14, sekitar Julai 2018, ketika menikmati makan tengah hari di restoran Nasi Padang Kampung Baru, sahabat karib saya tadi mengulas isu peralihan kuasa daripada Mahathir kepada Anwar.

“Aku rasa tak selesa kalau Mahathir berundur awal. Biar habis satu penggal atau setakat mana dia mampu berkhidmat. Anwar elok jadi TPM kepada Mahathir. Dekat nak bubar Parlimen nanti, serah kat Anwar dan Anwar ketuai kempen PRU15, kan cantik!”

Seperti banyak lagi yang mahu dibicarakannya, tapi tersekat bila saya lebih tertumpu kepada juadah lazat dengan sambal hijau pedas dan tempe goreng rangup, kuah lemak kuning secukup rasa.

PH membuat keputusan penting apabila sepakat memilih Tun Dr Mahathir sebagai nakhoda pada PRU14.

III

Usianya hampir sebaya saya. Lebih 20 tahun keluarga kami merujuk ke kliniknya bila uzur. Dekat sahaja dengan kediaman saya. Boleh dianggap dia bagai doktor famili. Ketika pertama kali berjumpa, selepas saya berpindah rumah dari Selayang Baru ke Ampang, bara Reformasi hangat membara. Masa itu, walaupun mengecam tindakan mengaibkan Anwar Ibrahim, saya beranggapan bekas TPM itu lebih kepada seorang mangsa ketimbang seorang wira.

Jelas, doktor ini tidak selesa dengan sikap saya. Baginya, Mahathir tunduk kepada konspirasi jahat yang mahu “membunuh” Anwar. Saya tidak membantah. Memang ia pandangan majoriti, termasuk ramai profesional Melayu. Di Hospital Ampang Puteri, ada kalanya pakar diabetes yang merawat saya, lebih ghairah bertanyakan hal Anwar daripada membincangkan tahap kesihatan saya.

Daripada satu jam pertemuan kami, hampir 45 minit bersembang rancak tentang Reformasi. Memang sentimen anti-Mahathir cukup tinggi.

Saya perhatikan “doktor peribadi” kami itu cenderung menyokong Pas, terpesona dengan citra Islamnya. Terasa juga alergiknya terhadap DAP, selain amarah berterusan kepada Mahathir. Dia tidak begitu senang dengan Pakatan Harapan juga kerana faktor DAP walaupun jelas tidak sesekali menyokong Umno-BN.

Justeru, saya mengelak dari bersembang dengannya tentang pergolakan dalaman Pas sehingga melahirkan AMANAH. Apabila Mahathir mula rapat dengan oposisi untuk menyingkirkan Najib, saya perhatikan dia bagai menunda sokongan. Sukar melupakan bagasi sejarah PM ke-4 itu.

Jadi, tiada lagi kerancakan sembang politik kami. Saya tidak mahu menimbulkan polemik dengan rakan-rakan yang dilihat berbeda persepsi. Buku tentang AMANAH pun tidak saya hadiahkan, apatah lagi makalah mengenai Mahathir yang saya hasilkan.

Suatu petang, selepas Parlimen dibubarkan, saya dan isteri ke kliniknya. Isteri minta saya sampaikan buku Mengapa Mahathir?. Saya enggan. Bimbang reaksinya.

Selesai temu janji, pintu bilik kerjanya sudah terbuka, tiba-tiba saya beranikan diri menghadiahkan naskhah itu.

“Maaf, doc, saya sokong Mahathir untuk jatuhkan Najib. Saya tahu Dr sejak lama tak suka Mahathir,” suara saya perlahan sambil melangkah keluar.

Saya perhatikan wajahnya ceria berseri menatap cover buku. Salamannya terasa erat. Terasa dia mahu berbicara lebih panjang. Kali ini dia menokok-tambah keperluan Mahathir ketuai pembangkang. Malaysia mesti diselamatkan. Pengalamannya dalam dunia perubatan sudah cukup membuktikan kerajaan BN harus diganti segera. Lupakan perbedaan kecil, ujarnya. Semua potensi, termasuk Mahathir, tidak boleh disia-siakan. Lega saya. Huh! Sangkaan meleset. Terlalu ramai lagi yang rasional dan bijak memilih keutamaan.

Dia turut kecewa dengan Pas seraya berkongsi rasa bimbang kemungkinan BN mengutip untung ekoran perlawanan tiga penjuru. “Mungkin penyokong fanatik Pas tidak berubah, tapi majoriti pengundi sedar kuasa mereka,” saya mula selesa bersuara, tidak bimbang lagi bila merasakan dia juga penyokong PH.

Selepas 100 hari kerajaan baharu memerintah, saya berkunjung sekali lagi ke kliniknya.

“Pas bagi gred D prestasi 100 hari PH, apa komen Dr,” saya sengaja mengumpan reaksinya sejurus pemeriksaan di kaki yang bengkak.

“Bengong Pas ni, berilah peluang dulu, banyak yang kena baiki, realistiklah sikit, jangan pandang perubahan dari satu sudut saja,” sambutnya sambil kami ketawa panjang. Dalam hati, terdetik, Pas sudah hilang seorang penyokong tegarnya.

 

IV

Maaf, cebisan kisah berkaitan doktor lagi. Ya, daripada catatan pesakit kronik yang sibuk dengan jadual temu janji dan rutin rawatan! Keuzuran memang mengehadkan komunikasi saya tetapi tidak memasung imaginasi. Sumber mungkin terbatas namun ilham diharap terus mengalir.

Pakar mata ini agak kurus, mudah tersenyum, berbudi bahasa dan seperti lazim seorang doktor, pantas berjalan. Dia memudahkan urusan yang nampak rumit, menghargai pesakit, dan halus kerja tangannya.

Sekitar 2015. Pertama kali saya jalani operasi suntikan ke dalam mata. Diabetik retinopati. Mahu redakan kesan pendarahan yang menyebabkan penglihatan kabur teruk. Tugas saya sebagai ketua pengarang Harakah terganggu. Sukar membaca abjad.

Dia menjelaskan mengapa mata perlu disuntik, selain rawatan laser yang agak perit.

“Sakit tak, doc?” saya bertanya, jujur. “Mata saya pun tak pernah dicucuk,” balasnya, tersenyum, “tapi pesakit bagi tau, laser lagi sakit, cuma suntikan itu terasa agak merisaukan sebab jarum masuk ke mata.”

“Ya, segheyau,” tingkah saya dalam loghat Kedah.

Sebelum memulakan operasi, ketika saya berbaring cemas, dia perkenalkan saya kepada sekumpulan jururawat yang membantu:

“Ini Lutfi, dia aset besar negara.” Saya hanya mampu tersenyum, tapi sempat berkata-kata dalam diam, “apakah Dr pasti semua pembantu ini turut beranggapan seorang ketua pengarang akhbar pembangkang adalah bermanfaat untuk negara?”

Di pejabat, kecoh seketika kemudiannya, saya diminta berhenti oleh lembaga pengarah Harakah. Sesetengah pihak merasakan ada faktor politik selain keuzuran. Pakar mata berbangsa Cina ini hairan, saya masih dalam proses pemulihan dan tidak sepatutnya diberhentikan. Dia menulis surat sokongan kepada pengerusi Harakah agar saya terus berkhidmat.

Sejak hari itu kami makin rapat. Ada sekali bertembung depan pintu lif selepas saya jalani rutin cuci darah di hospital sama, dia terus pegang tangan saya, “Kalau Lutfi kuat, jom ikut saya ke tingkat satu, kita periksa mata.”

Saya kemudiannya terputus hubungan hampir setahun. Kelesuan dialisis membuatkan saya malas ikuti rawatan mata secara berkala. Rupanya dalam tempoh sama dia berhijrah ke hospital swasta, dekat rumah. Saya mengesannya melalui internet. Menyedari biaya agak besar, dia cuba membantu sedaya mungkin. Mulanya dia merujuk kes saya ke sebuah hospital awam yang sesak. Dia sempat berpesan, “Tapi you kena biasakan diri dengan suasana pasar.” Tiga kali mencuba di sana, saya berpatah balik kepadanya.

“Lutfi bersama AMANAH, kan? Tak bersama Pas lagi?” Dia sekadar mahu mengesahkan, sambil bersiap untuk operasi suntikan, pada satu pagi Jumaat, hujung Disember 2017. Dia meluahkan rasa kecewa dengan pertandingan tiga segi.

“Negara sudah cukup teruk. Sayang Pas, lama dia jadi pembangkang yang kuat, sampai masa macam ini, dipergunakan pula oleh BN,” tambahnya. Dia mahu tahu pendirian politik orang Melayu. Saya tidak dapat meredakan keresahannya.

Pasca PRU14. Nampak riak wajahnya puas di tengah rasa tidak selesa rakyat menuntut janji dipenuhi.

“Ramai kawan you jadi menteri, ya? Okey, beri peluang untuk orang baharu buat pembersihan dan belajar mentadbir,” ujarnya. Sesekali dia ketawa lega mendengar cerita saya mengulas kemenangan PH. Saya senang dengan nada gelaknya yang panjang.

Tiga bulan kemudian. “Ramai orang menaruh harapan besar dan mereka seperti tak boleh sabar menunggu. Kita boleh faham tapi bagaimana dengan rakyat biasa?” dia bagai mahu saya sampaikan mesej kepada pemimpin PH.

Komentar saya dalam portal berita diikutinya, terutama selepas pembedahan katarak yang membantu lebih produktif menulis. Sebenarnya dia juga menyumbang dengan sedikit biaya mencetak buku Mengapa Mahathir?. Lebih daripada sokongan moral. Terima kasih doktor mataku.

 

V

Juga tentang Mahathir. Beberapa hari selepas penamaan calon PRU14. Saya sibuk menguruskan pengedaran buku kecil 100 halaman, Mengapa Mahathir?. Permintaan agak baik. Ramai juga bertanya, bagaimana saya boleh bertukar sikap daripada pengkritik tegar Mahathir menjadi pengkagumnya pula?

Soalan itu pastinya datang daripada orang yang tidak membaca atau kurang memahami buku itu. Benar, sepanjang era 22 tahun PM ke-4, saya banyak menulis tentang sisi gelapnya, terutama sekitar 1987, bermula Operasi Lalang dan penggantungan akhbar, pengharaman Umno, krisis terburuk kehakiman, penghakisan demokrasi melalui pindaan ISA, Akta Polis dan Akta Penerbitan. Lebih awal, hujung 1985, tragedi berdarah Memali dan pengurusan keras perbedaan politik di antara Pas-Umno.

Saya tidak pernah menarik balik sanggahan sebelum itu. Cuma apabila Mahathir nampak berubah dan bersama barisan parti yang mahu nenumbangkan Najib-BN, saya terbuka memberi peluang kepadanya. Mahathir menyuntik nilai tambah yang bermakna buat gabungan oposisi. Saya turut menyokong Mahathir sebagai Pengerusi PH dan calon PM. Tiada keraguan lagi. Ini Mahathir yang berbeda dan pasukannya – PKR, DAP dan AMANAH – tidak sama lagi dengan komponen BN dahulu. Malah partinya, Bersatu juga berlainan dengan Umno. Penyokongnya – majoriti rakyat – kini lebih kritikal dan bukan pak angguk lagi.

Selepas solat Asar. Saya terbaring lesu di ruang depan. Kipas berpusing laju. Buku bersepah di lantai. Cuaca agak panas melekit. Anak saya kata ada pembeli berminat jumpa: “Ada hal nak sembang-sembang, dia tanya ayah sihat ke untuk terima tetamu.” “Datanglah,” balas saya, mungkin boleh dapat cerita baharu tentang kempen PRU14.

Orangnya tegap, berpakaian kemas, berkereta mewah, datang dengan pemandu India, berasal dari Alor Setar, secara terbuka mengaku pengkagum Mahathir.

“Saya baca buku Bang Lutfi sejak belajar Kolej Sultan Abdul Hamid, 25 tahun lalu. Saya suka tulisan yang mengkritik Mahathir,” bicaranya teratur, selepas berbasa-basi soal kesihatan saya.

Secara jujur juga anak muda berusia awal 40-an ini meramalkan Mahathir boleh melakukan kejutan, menyempurnakan impian barisan pembangkang sejak sekian lama.

“Jangan marah kalau saya umpamakan Mahathir bagaikan dewa politik, insya-Allah PH menang kali ini walaupun Pas seperti membantu BN dan Najib. Mahathir boleh lakukan apa yang Anwar gagal,” tambahnya sambil menyelak buku Mengapa Mahathir?. Dia turut mendakwa hubungan sulit di antara Najib dan Ustaz Hadi Awang ada dalam pengetahuan Mahathir.

Mengetahui saya banyak menulis tentang hubungan Mahathir-Anwar, terutama pada dekad 90-an, dia seperti mengumpan pendapat terkini saya. Cuba mengelak, saya lebih suka mendengar sudut pandang tetamu.

“Tak mudah penyokong Anwar dan pengkagum Mahathir melupakan segalanya. Penyokong tegar Mahathir, khususnya orang-orang tua di kampung dan mereka inilah yang akan memenangkan PH, percaya bahawa Anwar bukan mangsa konspirasi. Bagi mereka, Anwar bukanlah orang yang baik moralnya,” tambahnya sambil membawa beberapa contoh untuk perkukuhkan dakwaannya. Saya tidak mahu berselisih, lalu membiarkan dia terus bercerita. “Lagipun Mahathir tak tarik balik serangan peribadi kepada Anwar, mereka hanya berdamai untuk gulingkan Najib,” sambungnya.

“Dulu pun mereka berperang demi kuasa, harapnya episod lama itu kita lupakan, dan ambil iktibar,” saya mencadangkan jalan tengah. “Tak semudah itu,” tingkahnya, ketawa kecil. “Beri peluang dan masa, semua insan buat silap,” kata saya sambil menghidangkan teh kosong dan kuih talam.

Teman baharu ini juga minta saya perhatikan pergerakan Mahathir di saat akhir kempen: “Mahathir arif sangat psikologi pengundi. Dia bijak membaca situasi terutama di waktu genting. Pada era pertamanya, dia lalui PRU 1999 dengan baik sekali.”

Pada malam hari mengundi, saya dalam keadaan lesu selepas dialisis, terpaksa menongkat mata menanti amanat terakhir Mahathir dari Langkawi. Mengharapkan ada “bom yang diletupkannya”, saya agak kecewa dengan ucapan mendatar Mahathir. Tiada apa-apa kejutan. Isu biasa yang boleh dianggap sudah basi. Pengulangan perkara sama. Mungkin mengejutkan apabila tiada hal luar biasa yang didedahkan!

“Itulah hebatnya Mahathir. Dia mahu tunjukkan kita akan bertukar kerajaan dengan damai dan tidak hiruk-pikuk,” pembeli buku itu menjawab kemusykilan saya.

“Malah, Najib sendiri tidak menyangka dia akan hilang kuasa esoknya jika mengamati kempen akhir Mahathir.” Saya hanya mampu ketawa, disambutnya ceria di hujung telefon.

 

VI

Lama tidak bertemu, malah bertanya khabar pun jarang sekali. Dia pernah datang ziarah ke rumah, tapi saya waktu itu ada rawatan di hospital. Saya tertanya-tanya juga mengapa dia tidak sertai AMANAH bersama rakan-rakannya yang lain.

Pagi itu, sekitar jam 9, dia menolak pintu pagar rumah, tanpa makluman awal. Bukan satu gangguan, sebaliknya membawa rahmat.

Dia ingin membantu proses rawatan mata saya. Sebelumnya dua tiga kenalan rapat menghulurkan dana pembedahan. Terharu dengan keprihatinan sahabat-sahabat. Kali ini, dia menawarkan kemudahan di hospital awam.

Bicara kami tertumpu cabaran dalaman PH. Persaingan secara sihat. Kedudukan AMANAH sebagai parti terkecil dan tidak berjaya menonjolkan nama besar pimpinan yang menyerlah. Mungkin kelebihan dari sudut idealisme perjuangan dan pengikut yang berdisiplin.

Sejak lama saya tertanya-tanya mengenai tuduhan bahawa Pas menerima dana yang besar untuk kempen PRU14. Ia sudah bertaraf rahsia umum. Pastinya Pas menafikan. Namun ramai musykil dari sumber mana Pas berbelanja mewah menampung keperluan begitu ramai calonnya bertanding. Melihat persiapan poster, bendera dan sepanduknya sahaja cukup untuk menggambarkan dana luar biasa diperlukan. Bendera Pas berkibar megah dengan pancang kukuh diikat pada tiang lampu yang tinggi.

Terdedah sumbangan RM2.5 juta kepada tabung Pas daripada individu yang dikaitkan dengan pejabat Umno. Dilampirkan sekali butiran transaksi. Awalnya Pas menganggap ia fitnah tetapi selang tidak lama, seorang pimpinan kanannya mengakui ia bukan daripada Umno tetapi derma peribadi. Ramai menyindir, “macam bunyi derma keluarga diraja Saudi kepada Najib.”

Saya tercari-cari siapa mampu mengesahkan khabar, wang yang diterima Pas jauh lebih besar daripada RM2.5 juta itu. Ada sumber mendakwa, deal ini di peringkat tertinggi, level presiden ke presiden; mungkin lapisan kedua pun tidak dimaklumkan. Sebelum PRU14, info berkaitan hubungan sulit Pas-Umno perlu dibongkar bagi memberi penjelasan kepada pengikut Pas agar dapat beralih sokongan kepada PH. Manakala suasana pasca 9 Mei, atas posisi sesama oposisi, saya tidak membantah usaha memperkukuh front pembangkang.

Saya cuba memancing teman yang menziarahi saya ini. Memang dia ada maklumat lebih menyeluruh tentang Pas. Namun tidak diperincikannya. Cukup untuk mengesahkan wang itu mengalir dan rapatnya hubungan Najib-Hadi. Memperkukuhkan sangkaan saya, jika kerusi dimenangi Pas mencukupi untuk bantu BN kekal berkuasa, maka berlari Ustaz Hadi memenuhi impian Najib. Apa pun sejarah telah terakam indah. Malaysia diselamatkan dengan kejatuhan BN.

Pada malam sebelumnya, saya juga menerima tiga tetamu daripada segmen berbeda. Aktivis politik, budayawan dan penyelidik. Agak terpegun apabila dihuraikan penemuan kajian yang memaparkan semangat tinggi ahli dan penyokong Pas di Pantai Timur. Menandakan tidak mudah laluan buat PH khususnya AMANAH untuk mengorak langkah. Lebih mengejutkan, tekad orang Pas di Kedah berada pada tahap paling tinggi, melebihi era Ustaz Fadzil Noor mahupun zaman pemerintahan Ustaz Azizan Abd Razak.

Bertanding solo, tidak seperti dengan bantuan Semangat 46 (1990), PKR (1999), Pakatan Rakyat (2008), prestasi Pas Kedah jauh lebih melonjak, menghantar mesej jelas parti itu mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu. Berbeda Kelantan dan Terengganu, jumlah pengundi bukan Melayu di Kedah adalah signifikan. Walaupun tanpa sokongan mereka, tetapi Pas masih mampu menang 15 kerusi daripada 36 Dun – ia satu catatan cemerlang.

Patutlah kawan-kawan saya penyokong Pas di Kedah seperti tidak terusik dengan kemenangan PH dan AMANAH. Di Kelantan dan Terengganu, yang menyaksikan hampir semua calon PH hilang deposit, komitmen penyokong Pas bertambah membara. Saya menganggap ia satu cabaran besar buat rakan-rakan AMANAH. Apakah mereka langsung tidak mampu menumpang tuah limpahan keceriaan Putrajaya? Difahamkan keahlian baharu AMANAH teramai di Pantai Timur; mampukah kesetiaan ahli Pas bertukar kepada parti Islam yang lebih muda dan progresif pada PRU15 nanti?

Kemenangan Pakatan Harapan hasil kesepakatan PKR, DAP, AMANAH dan PPBM.

 

  • Tulisan ini dipetik dari buku Revolusi Tanpa Darah