Wartakan Geopark Lembah Kinta elak jajaran bukit batu kapur musnah

Wartakan Geopark Lembah Kinta elak jajaran bukit batu kapur musnah

Hujung minggu lepas sekali lagi saya berpeluang menyertai program Latihan Aktivis Alam Sekitar atau nama singkatannya LASAK anjuran Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA).

Ini adalah LASAK yang kelima saya dapat turut serta dan format program kali ini adalah ‘lawatan’. Memandangkan beberapa siri LASAK sebelum ini lebih kepada teori dalam kelas, untuk kali ini peserta akan dibawa ke beberapa lokasi di mana kemusnahan alam semula jadi berlaku di sekitar Perak dan Kelantan.

Tidak perlu kaitkan dua negeri yang dipilih ini dengan politik kepartian sempit. Pemilihan adalah disebabkan Banjaran Titiwangsa yang menjadi tulang belakang negara kita juga terletak di kedua-dua negeri ini selain beberapa negeri lain.

Malah, dua negeri ini juga mempunyai keluasan hutan antara yang terbesar di Semenanjung Malaysia.

Program ini turut melibatkan pakar rujuk atau ‘murabbi’ dalam bidang perhutanan. Tidak lain tidak bukan, beliau adalah Encik Meor Razak Meor Abdul Rahman yang kini berjawatan selaku Pegawai Penyelidik Lapangan bagi NGO Sahabat Alam Malaysia (SAM).

Lokasi pertama adalah tapak kuari di Simpang Pulai. Industri kuari yang tertumpu di bukit-bukit batu kapur boleh dilihat dengan jelas di tepi-tepi lebuhraya PLUS sepanjang perjalanan menuju utara dari Simpang Pulai hingga ke Bukit Gantang.

Kami berhenti di tepi jalan yang membolehkan kami melihat dua bukit batu kapur yang sedang musnah iaitu Gunung Lanno dan Gunung Terendum.

Difahamkan Gunung Lanno merupakan antara gunung terbesar di Lembah Kinta dengan memiliki kira-kira 36 gua batu kapur yang unik.

Gunung Lanno terus ditarah diancam aktiviti perlombongan kuari.

Namun, keindahan Gunung itu dibimbangi akan terus lenyap akibat aktiviti perlombongan kuari dan kawasan sekitarnya juga dijadikan kawasan pembuangan sampah haram oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Menurut perkongsian seorang peserta yang juga merupakan pendaki iaitu Uzaer, bukit batu kapur di Ipoh sebenarnya kaya dengan khazanah alam seperti gua batu kapur yang terkandung 1001 keistimewaan seperti artifak-artifak yang belum sepenuhnya diteroka, haiwan-haiwan unik, aliran sungai dan lebih mengejutkan terdapat air terjun kecil di dalamnya.

Malah, masih ramai yang tidak tahu kewujudan sebuah tasik yang sangat cantik dikelilingi bukit batu kapur iaitu Tasik Cermin.

Encik Meor pula menjelaskan, pokok-pokok yang tumbuh di bukit batu kapur adalah terdiri daripada spesies yang istimewa kerana tidak semua tumbuhan boleh hidup di permukaan seperti itu. Malah, pokok itu juga dikategorikan sebagai spesis pokok terancam.

Tambah Encik Meor lagi, pemasyhuran Lembah Kinta sebagai tapak geologi Geopark Kebangsaan tidak cukup untuk memberi jaminan agar bukit batu kapur di sekitar Ipoh itu terus terpelihara.

Selagi status tanah di kawasan tersebut tidak ditukar kepada Hutan Simpan Kekal dengan kelas Hutan Perlindungan ataupun Taman Negeri, selagi itulah pada bila-bila masa pihak kerajaan negeri boleh mengeksploitasi sumber yang ada di tanah milik mereka.

Peserta LASAK 7.0 mendengar taklimat daripada Meor Razak (bertopi dan berbaju hijau)

Pemasyhuran Lembah Kinta sebagai tapak geologi Geopark Kebangsaan disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Oktober tahun lepas untuk menjadikan kawasan Ipoh dan sekitarnya dibangunkan secara lestari agar ibu negeri Perak sekaligus membuka peluang kepada aktiviti eko-pelancongan, geo-pelancongan serta penyelidikan bertaraf dunia.

Di negara kita, kuasa untuk menguruskan hal ehwal tanah tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Seksyen 40 Kanun Tanah Negara dan Undang-Undang Tanah Negeri secara jelas memperuntukkan bahawa Pihak Berkuasa Negeri mempunyai hak ke atas semua tanah yang termasuk di dalam sempadan negeri masing-masing.

Oleh yang demikian, sekalipun di peringkat kerajaan pusat telah wujud Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta agensi-agensi yang bertanggungjawab memelihara alam sekitar seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Hutan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia serta Jabatan Laut Malaysia, semua agensi ini hanya berperanan sebagai pemantau atau penasihat semata-mata.

Semua agensi terbabit sama sekali tidak dapat menghalang kerakusan pihak kerajaan negeri yang bertindak meluluskan projek-projek yang memusnahkan alam sekitar seperti pembalakan, penambakan laut, kuari, perlombongan, mengorek pasir, pembinaan empangan dan pembinaan di lereng-lereng bukit kononnya sebagai sumber pendapatan negeri.

Imej satelit di sekitar Simpang Pulai