
Wartakan Segari sebagai kawasan perlindungan penyu
Pantai pendaratan penyu di Segari, Manjung sebaik-baiknya diwartakan sebagai kawasan perlindungan haiwan itu kerana di Perak masih belum ada lagi kawasan pantai pendaratan penyu yang dilindungi seperti di Terengganu.
Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nurul Salmi Abdul Latip berkata, penyu bukan sahaja memerlukan pantai bahkan juga pokok-pokok pantai yang sesuai untuk tujuan bersarang.
“Pantai-pantai untuk penyu bersarang semakin berkurangan kerana aktiviti manusia yang berleluasa yang semakin banyak ‘merampas’ pantai pendaratan penyu untuk tujuan pembangunan.
“Jika isu sebegini berterusan, tidak mustahil satu ketika nanti akan menyebabkan penyu di Perak dan di negeri-negeri lain mungkin pupus sebagaimana penyu belimbing yang tidak lagi mendarat di Terengganu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian susulan Program Penyelenggaraan/Sulaman dan Pembersihan Pantai anjuran Pusat Kepakaran Serantau (Regional Centre of Expertise – RCE Sejahtera Youth), USM dengan kerjasama Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) baru-baru ini.
Pemilihan pantai Pasir Panjang, Segari untuk aktiviti tersebut, jelas Dr. Nurul, memandangkan lokasi itu satu-satunya pantai pendaratan penyu yang masih terdapat di Perak.
“Penyu sangat sensitif dengan pantai yang kotor dan keadaan pantai yang terganggu dengan aktiviti manusia.
“Oleh itu aktiviti seperti penanaman pokok spesies pantai yang sesuai dan pembersihan pantai di kawasan sensitif seperti di pantai Pasir Panjang penting untuk terus menarik kehadiran penyu dan mengekalkannya sebagai pantai untuk ibu-ibu penyu bersarang.
“Kita telah melepaskan 20 anak penyu agar (Chelonia mydas) yang berumur lebih kurang dua bulan. Anak-anak penyu dilepaskan pada waktu senja.
“Semoga anak-anak penyu selamat dari segala ancaman dan membesar menjadi ibu-ibu penyu yang akan meneruskan kelangsungan spesiesnya,” kata beliau.

Lambakan sisa buangan plastik dibimbangi mengancam sekurang-kurangnya 700 spesies hidupan marin.
Seramai 37 penuntut USM dari pelbagai latar belakang dan tahun pengajian serta 25 aktivis awam juga menanam pokok pantai di Pusat Pengurusan Penyu Pasir Panjang, Segari, Daerah Manjung.
Mengulas lanjut, Dr. Nurul berkata, program yang disertai beberapa warganegara asing itu turut dilihat mengujakan mahasiswa yang berhasrat untuk melakukannya lagi pada masa akan datang.
“Pelajar kena banyak keluar buat program dgn komuniti. Baru boleh dapat pengalaman dan kemahiran yang sukar dizahirkan dalam kuliah.
“Baru mereka tahu ya, yang buat program di luar lagi seronok daripada duduk dalam kampus saja,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan program tersebut wajar diadakan oleh pelbagai pihak untuk menanam sifat peduli terhadap alam sekitar dalam kalangan orang awam khususnya pada generasi muda.
“Namun, program sebegini perlu di bawah penyeliaan supaya aktiviti yang dianjurkan akan memberi impak yang positif dan dibuat dengan teratur bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.
“Disamping itu, gandingan aktiviti seperti ini antara pelajar universiti, pertubuhan bukan kerajaan, masyarakat setempat dan agensi kerajaan, adalah gabungan kerjasama yang perlu digalakkan dalam berbagai program dan aktiviti pemuliharan,” katanya.
Sebanyak 31 kilogram sampah dengan kebanyakannya sisa plastik berjaya dikutip oleh mahasiswa dan sukarelawan komuniti tempatan, di Segari, Perak pada 16 November lalu.
Lima kumpulan sampah paling banyak dikutip ialah bekas makanan plastik, botol plastik, beg plastik, jaring pukat dan penutup botol plastik.
Sementara itu, Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman memberitahu terdapat beberapa spesies pokok yang sesuai di pesisiran pantai khususnya tanah berpasir iaitu tembusu (Fragraea fragrans), bintangor laut (Calophyllium inophyllum), beruas (Garcinia hombroniana) dan putat laut (Barringtonia asiatica).

Meor Razak menerangkan kepentingan pokok pantai kepada peserta.