Wartawan dijamu ‘hidangan babi’ oleh penganjur?

Wartawan dijamu ‘hidangan babi’ oleh penganjur?

Beberapa wartawan beragama Islam dan Hindu amat terkilan apabila mereka dihidangkan daging babi ketika membuat liputan majlis makan malam Anugerah Pencapaian Kecemerlangan Agro Malaysia di Sekolah Pay Fong di Melaka, malam semalam.

Menurut laporan portal Utusan hari ini dipetik , wartawan kecewa dengan sikap tidak sensitif penganjur yang gagal mengelolakan majlis itu dengan baik dan menghidangkan menu babi tanpa memaklumkan perkara berkenaan.

Portal itu turut menyiarkan gambar yang didakwa sebagai hidangan berkenaan.

Wartawan yang tidak dinamakan itu dilaporkan kesal kerana pihak penganjur tidak menyediakan meja khas untuk makanan halal kepada wartawan beragama Islam.

Menurut portal itu, majlis berkenaan juga dihadiri oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin; ahli-ahli dewan undangan negeri serta beberapa tetamu kehormat lain.

Lebih teruk lagi, kata laporan itu, langsung tiada wakil daripada pihak penganjur yang mendekati wartawan untuk memaklumkan mengenai jenis hidangan sepanjang majlis tersebut.

Ini hingga menyebabkan wartawan beragama Islam duduk semeja dan makan makanan yang tidak diyakini halal bersama wartawan bukan Islam.

Antara wartawan yang hadir termasuk daripada agensi berita Utusan Malaysia, MelakaKini, RTM Melaka, The Star dan Tamil Nesan Daily selain beberapa wartawan daripada akhbar Cina.