Malaysia Dateline

Wartawan Harakah minta maaf kepada Dr Mujahid

Selepas sembilan hari kes saman fitnah difailkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof terhadap Harakah selesai melalui proses mediasi, wartawan lidah rasmi Pas itu tampil memohon maaf.

Wartawan Aziz Muda mengemukakan permohonan maaf secara bertulis kepada Mujahid susulan isu usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Sajat, yang didakwa memakai telekung dan berpakaian seperti wanita ketika menunaikan umrah tahun lalu.

Aziz berkata, dia tidak mempunyai sebarang niat jahat untuk menjatuhkan maruah, mengaibkan ataupun memfitnah Mujahid dengan penerbitan artikel bertajuk “Sajat: Mujahid dan K’jaan PH patut dipersalahkan” dan “Keterlanjuran Sajat kesilapan Mujahid dan kerajaan PH”.

Aziz bahkan mengakui tahu usaha-usaha Mujahid yang juga Naib Presiden AMANAH itu dalam bidang dakwah dan dalam memartabatkan Islam selain mengenalinya secara peribadi.

Walau bagaimanapun, dia menyedari kandungan dua artikelnya itu mungkin boleh membawa maksud dan pemahaman yang berbeza kepada para pembaca terutama kepada Dr Mujahid.

Sehubungan itu, Aziz mengakui bahawa Mujahid tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan tindakan Sajat yang bertelekung ketika menunaikan umrah di Makkah.

Kedua, Aziz mengakui Mujahid tidak pernah melarang pihak berwajib dan orang ramai daripada melakukan serbuan dan tangkapan ke atas mereka yang terlibat dengan aktiviti ‘Lesbian Gay Biseksual Transeksual’ (LGBT) dan perzinaan.

Turut diakuinya lagi bahawa Mujahid tidak pernah membenarkan dan/atau menyokong amalan LGBT untuk dipraktikkan di Malaysia.

“Oleh yang demikian, saya (Aziz) dengan seikhlas hati ingin memohon maaf kepada YB Datuk Seri Dr Mujahid bin Yusof sekiranya Artikel-artikel tersebut mengguris perasaan dan/atau mengaibkan nama YB Datuk Seri Dr Mujahid bin Yusof.

“Saya juga telah meminta pihak Harakah dan Harakahdaily untuk menarik balik penyiaran Artikel-artikel tersebut (sekiranya masih disiarkan) dan supaya tidak lagi mengguna pakai dan membuat rujukan kepada Artikel-artikel tersebut di masa hadapan,” katanya yang disiar di laman web Harakahdaily hari ini.

Pada 20 September lalu, kes saman fitnah difailkan Mujahid terhadap Harakah berhubung kedua-dua artikel Aziz itu selesai melalui proses mediasi.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar itu yang memfailkan saman pada 12 Ogos tahun lalu, menamakan Aziz, Ketua Pengarang Harakah Wan Nordin Wan Yaacob, penerbit Harakahdaily serta akhbar Harakah iaitu Galeri Media Serbanika Sdn Bhd dan pencetak akhbar itu Percetakan Turbo (M) Sdn Bhd sebagai defendan.

Dalam penyataan tuntutannya, Mujahid mendakwa pada 7 Februari tahun lalu, Aziz, Wan Nordin dan Galeri Media telah menulis dan menerbitkan kenyataan memfitnah terhadapnya di Harakahdaily menerusi artikel bertajuk “Sajat: Mujahid dan K’jaan PH patut dipersalahkan” serta menerbitkan satu lagi kenyataan yang memfitnah beliau dalam Harakah bertarikh 10 hingga 13 Februari menerusi artikel “Keterlanjuran Sajat kesilapan Mujahid dan kerajaan PH”.

Mujahid selaku plaintif menegaskan kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang yang tidak bertanggungjawab apabila membenarkan masyarakat, khususnya yang beragama Islam, terlibat dalam aktiviti LGBT selain didakwa menjadi punca kepada tindakan Sajat memakai telekung serta berpakaian seperti wanita, sewaktu menunaikan umrah.

Mujahid juga mendakwa kenyataan fitnah itu telah menjatuhkan maruah, kredibiliti serta reputasinya selaku menteri yang menjaga hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri, dan akibat daripada penyebaran kata-kata fitnah tersebut, beliau mengalami tekanan serta berasa malu untuk berhadapan dengan masyarakat.