Wartawan jatuh motosikal kerana Pokemon Go

Wartawan jatuh motosikal kerana Pokemon Go

Terlalu leka mengejar untuk menangkap ‘charmander’, karakter dalam permainan ‘Pokemon Go’, di sekitar kawasan perumahannya, seorang wartawan cedera apabila motosikal yang ditungganginya terlanggar jalan berlubang.

Azim, 25, (bukan nama sebenar) luka ringan di dagu dan lebam di badan.

Menurut Azim, kejadian berlaku semalam ketika beliau tidak bekerja dan bermain Pokemon yang dimuat turun sejak hari pertama permainan itu boleh didapati di Malaysia 6 Ogos lepas.

“Saya mula bermain pukul 5.30 petang, dan tidak lama kemudian berjaya menangkap ‘poliwag’ dalam bilik di rumah di Taman Lembah Keramat.

“Semakin teruja, saya terus bersemangat untuk menangkap lebih banyak karakter Pokemon, dan apabila charmander muncul kira-kira 100 meter dari rumah, saya mengambil kunci motosikal dan menunggang secara perlahan mencari lokasi charmander menggunakan ‘Go Radar’,” katanya kepada Bernama.

Jelas Azim, jalan di sekitar kawasan perumahannya lengang ketika itu dan sambil memegang ‘handle’ motosikal dengan sebelah tangan dan tangan kiri memegang telefon bimbit, beliau menunggang perlahan.

“Tiba-tiba tayar motosikal termasuk lubang dan saya tak dapat mengawal motosikal sehingga terjatuh. Mujurlah tak cedera teruk dan tidak ada kenderaan lain pada masa itu,” katanya sambil menambah akan lebih berhati-hati selepas ini apabila bermain dengan permainan itu.

Setakat ini, beliau telah berjaya menangkap 30 karakter Pokemon Go, kebanyakannya di sekitar kawasan perumahan.

Pengguna Android dan iOS boleh memuat turun permainan maya itu secara percuma melalui Google Play Store dan Apple App Store.

Pokemon Go, yang dibangunkan Niantic Incorporation of Nintendo USA, mencetuskan gelombang baharu dalam permainan realiti berperantara dalam sejarah penciptaan aplikasi telefon pintar.

Ia merupakan permainan sembunyi-sembunyi konvensional di mana pemain perlu mencari dan berlawan dengan karektor maya berdasarkan lokasi dunia sebenar yang dikesan melalui telefon pintar.

Aplikasi ini dilancarkan secara rasmi pada 6 Julai tahun ini di Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat, sebelum merebak ke lebih 30 negara sekarang.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Multimedia dan Tugas- Tugas Khas Negeri Ghazali Taib berkata, kegilaan terhadap permainan ‘Pokemon Go’ harus dibendung.

Langkah drastik perlu diambil bagi memastikan permainan tersebut tidak menjadi wabak yang terus memberi impak negatif kepada masyarakat, katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Meraikan Bakal Haji Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil di sini hari ini, Ghazali berkata, “Bila ada perkembangan teknologi seperti permainan Pokemon Go ini, kita bimbang sebab permainan ini dapat mempengaruhi minda seseorang terutamanya remaja.

“Sebenarnya Pokemon Go hanyalah permainan berbentuk ilusi tetapi dianggap benar dan dapat mempengaruhi remaja serta belia.

“Permainan ini kalau tak dibendung akan membawa perkara buruk dan mereka (pemain) tidak memikirkan soal keselamatan malah dikatakan dalam rumah ibadah pun wujud pokemon,” katanya.

TAGS