Malaysia Dateline

Wartawan Reuters dibebaskan dari penjara Myanmar

Dua wartawan Reuters yang dipenjara di Myanmar kerana mendedahkan mengenai pembunuhan beramai-ramai komuniti Rohingya, dibebaskan pada Selasa, lapor agensi berita Anadolu.

Wa Lone, 32, dan Kyaw Soe Oo, 28, adalah antara 6,520 banduan yang dibebaskan di bawah pusingan ketiga pengampunan oleh Presiden Win Myint sempena Tahun Baru tradisional bermula 17 April lalu.  Kedua-dua wartawan itu berada di penjara lebih 500 hari. Perkara itu disahkan oleh isteri Wa Lone, Pan Ei Mon.

“Kami kini bersama mereka, mereka telah dibebaskan,” katanya ketika dihubungi Anadolu.

Kedua-dua wartawan itu ditahan pada Disember 2017, masing-masing dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara pada September 2018, kerana melanggar undang-undang ketika melaporkan mengenai pembunuhan 10 lelaki Rohingya di Rakhine.

Komuniti Rohingya digambarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai penduduk paling teraniaya di dunia, sering dihimpit ketakutan sejak puluhan nyawa terkorban dalam keganasan perkauman pada 2012.

Menurut Amnesty International, lebih 750,000 pelarian Rohingya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak melarikan diri ke Bangladesh selepas tentera Myanmar melancarkan serangan terhadap komuniti minoriti Islam itu pada Ogos 2017.

Sejak itu, hampir 24,000 umat Islam Rohingya dibunuh oleh tentera Myanmar, lebih 34,000 Rohingya dibakar hidup-hidup dan lebih 114,000 yang lain dipukul, menurut laporan Badan Pembangunan Antarabangsa Ontario (OIDA).- BERNAMA